Rabu, 31 Julai 2019

Usah longgar syarat kerakyatan membuta tuli: Berjasa

fazleen safina 

 

Pengkhianatan terhadap identiti kita mesti ditentang habis-habisan

BANGI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan tidak tunduk dengan sebarang cadangan untuk melonggarkan syarat kerakyatan sedia ada, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan mengekalkan syarat kerakyatan seperti yang termaktub, selain menetapkan kefasihan bahasa Melayu sebagai syarat utama.

Katanya, usaha melonggarkan syarat kerakyatan adalah bersifat politik semata-mata bagi meneruskan jangka hayat sesebuah parti politik.

“Sebarang pengkhianatan terhadap identiti kita perlu tentang habis-habisan. Jangan membuta tuli longgarkan syarat kerakyatan untuk warga asing.

“Malaysia negara berdaulat, kita mesti berbangga dengan identiti kita. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengekalkan identiti unik ini sehingga ke anak cucu,” katanya kepada Ismaweb.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertemuan barisan pemimpin DAP yang dilaporkan berbincang bersama KDN bagi mengkaji semula syarat pemberian kerakyatan Malaysia.

Ketika itu, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dalam catatan di laman Facebooknya telah memuat naik beberapa fotonya bersama beberapa lagi Ahli Parlimen DAP dengan kapsyen ‘mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi membincangkan beberapa isu kewarganegaraan’.

Turut bersamanya di dalam gambar berkenaan ialah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, M Kula Segaran (Ipoh Barat), Hannah Yeoh (Segambut), Lim Guan Eng (Bagan) dan Teo Nie Ching (Kulai).

Isnin lalu, KDN mengesahkan akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan kewarganegaraan bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara teliti, adil dan cepat.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah SOP baharu yang dirangka oleh KDN, terdapat garis panduan yang lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A.

Langkah itu bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira faktor kebajikan anak yang memohon taraf kewarganegaraan dan membabitkan tempoh masa yang dipendekkan daripada tiga tahun kepada paling lama hanya satu tahun.


Tiada ulasan: