Ahad, 28 Julai 2019

51,000 saman trafik tertunggak di Sarawak milik warga asing

MALAYSIAKINI

   

Polis akan mencari mekanisme sesuai bagi menyelesaikan masalah 51,101 saman trafik tertunggak yang melibatkan warga asing di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata jumlah saman trafik tertunggak itu adalah dari 2008 hingga Julai 2019.

Daripada jumlah itu 85 peratus melibatkan warga Brunei dan Indonesia.

“Setakat Julai 2019 juga sebanyak 28,922 saman trafik tertunggak telah diselesaikan,” katanya kepada Bernama di Miri.

Alexson berkata, majoriti kesalahan trafik yang dilakukan warga asing ialah memandu melebihi had laju serta meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Polis akan meneruskan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) di lokasi sempadan berhampiran negara jiran untuk membolehkan pesalah trafik terbabit menyelesaikan saman mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara mekanisme yang akan dipertimbangkan seterusnya ialah mengadakan perbincangan dengan negara terbabit untuk mencari kaedah sesuai memaklumkan kepada pesalah trafik di sana mengenai saman tertunggak di Sarawak.

Menurutnya, punca utama masalah tunggakan saman trafik warga asing di Sarawak ialah kerana polis serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai akses maklumat peribadi dan alamat kediaman pemilik kenderaan berdaftar dari negara asing.

“Ini menyebabkan ramai pesalah trafik warga asing yang memasuki Sarawak tidak menyedari mereka melakukan kesalahan trafik kerana sukar untuk menghantar surat atau notis pemberitahuan saman trafik kepada mereka di negara masing-masing,” katanya.

Bagi saman trafik terhadap warga tempatan, beliau berkata, setakat ini sebanyak 584,511 saman dikeluarkan dengan majoriti kesalahan melibatkan memandu melebih had laju.

“Jumlah tertinggi saman ialah di Kuching diikuti Miri, Bintulu dan Sibu,” katanya lagi.- Bernama


Tiada ulasan: