Sabtu, 27 Julai 2019

Hina nabi: Mana suara pembela?

ainulillia 

 

Kesucian agama umpama buih di lautan dek kebisuan pemerintah

BANG– “Anehnya, sehingga detik ini, tiada satu pun suara dari mereka yang berkuasa memberi nasihat mahupun peringatan atas perbuatan melampau dan mengaibkan maruah Nabi Muhammad ﷺ,” demikian luah Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin.

Kesal dengan kebisuan pemerintah, beliau menyifatkan penghinaan terhadap Islam semakin menjadi-jadi sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara. 

“Keceluparan, kebiadaban dan kurang ajar menjadi keberanian menghina tonggak tertinggi agama, yakni Allah dan pesuruhNya, Rasulullah 

“Di mana pembela terkuat untuk mencegah atau bertindak dengan tangan atas kuasa dimiliki dan kepercayaan yang dimandatkan? 

“Apakah jawatan telah jadi kebanggaan, keselesaan dan kemudahan? Atau tangan diikat terbelenggu kerana tunduk patuh pada kepentingan yang dikhuatiri hilang?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk tindakan biadab pemilik akaun Facebook dengan nama ‘Wendy Loong’ yang dilaporkan memuat naik hantaran berupa karikatur seekor babi meliwat seorang lelaki Arab yang dinamakan sebagai Nabi Muhammad.

Polis sebelum ini mengesahkan, akaun Facebook berkenaan gagal dikesan dan dipercayai sudah dipadamkan, tetapi pemiliknya akan terus dikesan. 

Mengulas perkara itu, Ustaz Ahmad Bilal berkata, kesucian agama umpama buih di lautan yang begitu mudah diceroboh, malah menunggu saat ia terbuka untuk ditindas dan dihabiskan. 

“Petanda itu sudahpun zahir nyata, apabila suara umat ini dilayan secara sengketa dan diabaikan, lalu membibitkan fitnah-fitnah perpecahan. Akhirnya siapa yang untung dan diuntungkan? 

“Sebaliknya, individu yang masyhur diketahui umat – pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin – telah menyinggung tonggak, kuasa dan institusi agama ini boleh dibentang jalan mudah. Diberi surat kebenaran dan dibela kononnya menyuburkan ilmu pengetahuan. Tiba-tiba segalanya menjadi sewenang-wenang dilakukan,” katanya.

Beliau mengakui kesal apabila ‘Rule of Law’ yang mana sebelumnya dibentang bahas, dilulus dan diwartakan, akhirnya ‘dilepas bebaskan’ oleh kuasa politikus. 

“Apa nilainya Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika semua itu akhirnya dibakul sampahkan,” katanya.


Tiada ulasan: