Selasa, 30 Julai 2019

Makanan untuk jemaah haji miskin

Yusri Abdul Malek
 
 


SEJUMLAH SR13,746 atau RM15,117 berjaya dikutip daripada petugas haji 1440 Hijrah melalui program Infaq Sabeel Rahmatan Lil Alamin (ISRA).

Kutipan kemudian akan diagihkan dalam bentuk makanan kepada jemaah haji miskin merentasi bangsa dan negara.

Sumbangan makanan diagihkan sebelum dan selepas wukuf di sekitar Makkah.

Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dijangka 15,000 pek makanan akan diagihkan kepada jemaah miskin dari pelbagai negara terutama jemaah yang tidak disediakan pek makanan.

Katanya, lori makanan digunakan dan petugas akan mengagihkan makanan itu kepada jemaah yang memerlukan.

"Makanan itu akan diedarkan sekali iaitu sebelum dan selepas wukuf," katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan Petugas Haji 1440 H di Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Mengenai perhimpunan itu, Syed Saleh berkata, berdasarkan laporan diterima daripada semua pengurus operasi setiap unit dan zon mendapati operasi berjalan lancar.

Katanya, beliau juga berjumpa dengan jemaah dalam lawatan ke maktab dan mendapati mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan petugas haji.

"Ada dalam kalangan petugas yang berada 40 hari, empat minggu atau tiga minggu dan bekerja 24 jam tanpa cuti.

“Ini tentu melelahkan mereka tambahan pula dalam keadaan cuaca yang panas. Namun mereka masih bersemangat tinggi menyantuni jemaah.

"Selepas ini, petugas akan melalui operasi masyair yang memerlukan komitmen yang tinggi semua petugas dan gerak kerja paling tersusun.

"Dengan ada perhimpunan ini, ia dapat menyuntik semangat kepada petugas untuk memberi perkhidmatan terbaik sepanjang musim haji ini," katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Tiada ulasan: