Isnin, 22 Julai 2019

Saya bukan penyangak, kata bekas pengurus bank di perbicaraan Najib

Joanna Yu Ging Ping.
KUALA LUMUPUR: Bekas pengurus perhubungan AmBank di perbicaraan rasuah Najib Razak hari ini menepis cadangan dia seorang “pengurus bank penyangak” dan bersekongkol dengan Low Taek Jho dalam mengusik akaun bank bekas perdana menteri itu tanpa pengetahuannya.

Joanna Yu Ging Ping berkata demikian ketika diperiksa pendakwaraya V Sithambaram, yang meminta responnya susulan sindiran oleh seorang saksi sebelum ini.

Sithambaram berkata pihak pembelaan mendakwa Yu seorang pengurus bank penyangak dan bertindak bersama Low yang mengakibatkan Najib dituduh.

Yu menafikan dakwaan itu dan berkata mereka tidak bersekongkol untuk melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Peguam Harvinderjit Singh membantah aturan soalan itu, mengatakan pihak pembelaan tidak memfitnah kakitangan AmBank yang mengendalikan akaun Najib.

Sithambaram kemudian bertanyakan pada Harvinderjit adakah pihak pembelaan mahu menarik balik dakwaan itu kerana jika tidak dia mahu Yu menjelaskan perkara itu.

Harvinderjit tidak menjawab pertanyaan itu.

(Peguam pembelaan yang memeriksa R Uma Devi, pengurus AmBank cawangan Jalan Raja Chulan, pada April mencadangkan Yu, Kristal Yap dan Daniel Lee adalah pengurus bank penyangak yang bersekongkol dengan Low, dan menjalankan transaksi dalam akaun Najib tanpa pengetahuannya.)
Saksi ke-54 pihak pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa dia menghubungi bekas ketua pegawak eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamal, atau Low jika Nik Faisal tiada, setiap kali akaun semasa Najib terlebih keluar.

Yu berkata Nik Faisal atau Najib tidak pernah menuduhnya atau ahli kumpulannya melampaui mandat yang diberikan kepadanya.

Terdahulu, Yu memberitahu mahkamah bahawa Najib memberikan mandat kepada Nik Faisal untuk mengendalikan 3 akaun semasanya di AmBank yang dibuka pada 2013.

Beliau juga berkata Najib tidak menuduhnya melakukan aktiviti penipuan bersama Low.

Yu berkata dia mengenali Low sejak 2008 dan ahli perniagaan yang dikehendaki itu menghasilkan banyak perniagaan untuk bank itu berkaitan dengan 1MDB.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan Najib, yang berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas unit 1MDB.

Najib juga dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.

Tiada ulasan: