Jumaat, 26 Julai 2019

18 ahli PKR keluar parti, pengerusi hormati hak masing-masing

MALAYSIAKINI

   

Tidak puas hati dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, 18 anggota parti itu - termasuk seorang naib pengerusi cabang selama tiga penggal - bertindak keluar dari pertubuhan berkenaan.

Khairuddin Ibrahim yang sebelum ini naib ketua PKR Masjid Tanah mengesahkan bahawa dia bertindak begitu bersama 17 yang lain dari cabang berkenaan.

"Kami keluar parti sebab tidak puas hati dengan pengerusi negeri Halim Bachik yang merupakan pemimpin ala BN," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Khairuddin memberitahu mereka bertindak begitu pada 17 Mei lalu namun mendakwa surat pemberitahuan itu "disabotaj" oleh PKR Melaka sehingga proses tersebut terganggu.

Dalam keadaan begitu, katanya, mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mengumumkan tindakan tersebut.

Menurut Khairuddin, PKR Melaka di bawah Halim hanya memberi perhatian kepada kumpulan yang disenanginya saja, selain mengamalkan sikap pilih kasih.

"Saya menyertai PKR pada 1999, ketika Khalid Jaafar merupakan pengerusi Melaka, dan membuka cawangan di Pengkalan Balak sehingga menang pada PRU14.

"Tetapi, selepas Halim dilantik sebagai pengerusi, dia seolah-olah lupa diri. Orang lama ditendang keluar, tidak diberi jawatan sedangkan ahli yang disenanginya diberikan tempat yang banyak," katanya.

Jadi ahli lepas PRU14
 
Untuk rekod, Halim juga merupakan ketua PKR Masjid Tanah yang dipilih sebagai pengerusi negeri selepas pemilihan parti pada 2018 lalu.

Khairuddin memberitahu bahawa ahli-ahli yang keluar parti bukan didorong oleh perasaan tamak kuasa sebaliknya kecewa apabila jasa dan pengorbanan mereka tidak dihargai.

"Saya naib pengerusi selama tiga penggal. Saya banyak membawa keahlian ke PKR. Masih ramai datang jumpa kami untuk mendapatkan bantuan. Tapi, kami tak mampu kerana kami disisihkan," katanya sambil menambah, walaupun meninggalkan PKR, mereka tidak akan menyertai BN.

Sementara itu dihubungi Malaysiakini kemudian, Halim berkata beliau menghormati tindakan Khairuddin dan yang lain-lain itu keluar PKR.

"Betul, saya tak ada masalah (mereka keluar parti). Itu adalah hak masing-masing. Tapi, saya nafikan ada ahli parti pegang sehigga tujuh jawatan," katanya.

Halim turut menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan dalam Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) kepada Khairuddin.

"Selepas PRU14, dalam bulan Julai, saya tawarkan jawatan di Japerun tapi dia tolak. Jadi, saya tak tahu apa masalah dia.

"Daripada 18 orang yang keluar PKR, 11 mereka hanya menyertai parti selepas PRU ke-14, manakala tujuh merupakan orang lama," tambahnya lagi.


Tiada ulasan: