Isnin, 22 Julai 2019

'Jho Low masuk campur agar Najib dapat belanja AS$100k dari kad kredit'


   

Mahkamah hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho campur tangan selepas Najib Razak mengadu kad kreditnya tidak boleh digunakan untuk berbelanja di kedai fesyen terkemuka, Chanel di Hawaii.

Bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping berkata demikian pada hari ke-41 perbicaraan terhadap Najib melibatkan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Yu berkata beliau menerima mesej Jho Low, yang dikatakan daripada Najib tentang masalah yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Perkara itu didedahkan kepada mahkamah apabila Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram bertanya kepada Yu mengenai komunikasi beliau dengan Low melalui Blackberry Messenger (BBM).

Sithambaram: Saya jemput kamu baca dari (waktu) 14.10.
Yu: 'Tak lepas Jho. Bolehkah kamu hubungi Ambank Visa dan Mastercard? Dari MNR3 '

Sithambaram: Apabila kamu melihat MNR3, siapa yang kamu fikirkan? 
Yu: Apabila saya menerima (mesej) ini dari Jho, saya percaya ia datang dari Najib.

Sithambaram: Mesej yang diperpanjangkan?
Yu: Ya

Yu memberitahu mahkamah beliau menjelaskan kepada Low bahawa ia mungkin disebabkan sistem kad kredit bank yang 'bodoh', menyebabkan Low memintanya memeriksa perkara itu secepat mungkin.
"Jho kata adalah penting dan beliau (Najib) di Hawaii dan dia mahu menggunakan AS$ 100,000. Saya kata sistem okay. Mereka (jabatan bank) minta cuba lagi. Mereka bersiap sedia untuk 'clearkan' transaksi.

"Jho tanya adakah ia akan berkesan dan saya jawab mereka dah periksa dan kelihatan okay. Dia kata 'adakah kamu pasti?'. Saya kata itu dari apa yang mereka boleh lihat.

"Jho tanya adakah AS$ 100,000 dalam satu transaksi tidak ada masalah? Saya kata mereka cakap cuba lagi ... dan kemudian saya kata transaksi dah clear," katanya.

Perbualan itu berlaku pada 23 Dis 2014 sehari sebelum urusniaga dikatakan berlaku di Hawaii disebabkan perbezaan zon waktu.

Selepas itu, Sithambaram kemudian bertanya kepada Yu mengenai transaksi AS$130,625 kedai fesyen di Honolulu, Hawaii pada 22 Dis 2014.

Beliau mengesahkan transaksi itu telah dicaj kepada kad platinum Visa Najib dengan nombor akhir 5496.

Pembelian di kedai fesyen terkenal Chanel adalah elemen utama dalam kes pendakwaan dan dibangkitkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas pada awal perbicaraan Najib.

Pihak pendakwaan mendakwa dana dari SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan antara lain digunakan untuk membayar pembelian Najib menggunakan kad kredit.

Semasa perbicaraan hari ini, Yu juga memberi keterangan bahawa low boleh membantu memudahkan apabila berlaku 'overdrawn' (akaun terlebih keluar) terhadap akaun Najib.

Beliau berkata disebabkan status Najib, bank itu tidak mengenepikan cek yang dikeluarkan oleh perdana menteri itu tetapi akan menghubungi ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan pemegang amanah untuk akaun bank Najib.

Bagaimanapun, Yu berkata beliau akan menghubungi Low ketika Nik Faisal tidak dapat dihubungi walaupun Low bukan pemegang amanah.

Sithambaram: Bagaimana kamu boleh menerangkan peranan Jho Low dengan akaun-akaun berkenaan?

Yu: Saya fikir dia tidak mempunyai mandat untuk arahan bertulis, tetapi dia boleh menjadi perantara pemegang amanah berhubung wang yang tidak mencukupi.

Sithambaram: Apa yang buatkan kamu percaya dia seorang perantara?

Yu: Kerana ada keadaan tertentu apabila saya tidak dapat hubungi Nik, saya beritahu dia (Low) akaun itu 'overdrawn', dia kata okay dan kemudian seseorang datang untuk mendepositkan wang atau Nik akan hubungi saya dengan arahan. Dia buatkan saya percaya dia dapat menyelesaikan masalah (berkaitan akaun Najib).

Yu berkata Low merupakan perantara antara Najib dan bank itu sebelum Nik Faisal dilantik sebagai pemegang amanah.

"Banyak kali kami menerima mesej daripadanya bahawa Najib telah mengeluarkan cek dan untuk memeriksa sama ada akaun Najib overdrawn," katanya.

Beliau berkata, satu kali pada 16 Mei 2014 beliau menerima mesej dari Low berbunyi "Tolong semak jika akaun Ambank overdrawn. Boss kata dia tulis cek besar."

Sithambaram kemudian meminta Yu mengesahkan cek itu, yang disebutkannya dengan nilai RM10 juta.

Najib menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa berhubung sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International.


Tiada ulasan: