Jumaat, 26 Julai 2019

Azmin takkan tinggalkan PKR, kata setiausaha menteri

MALAYSIAKINI

   

Mustahil - itu istilah yang digunakan salah seorang setiausaha Azmin Ali mengenai langkah yang mungkin akan diambil timbalan presiden PKR berkenaan.

Menurut Hilman Idham, tidak mungkin menteri hal ehwal ekonomi itu meninggalkan PKR, malah sebaliknya beliau akan tetap bersama parti tersebut.

Setiausaha politik Azmin itu menambah kemenangan besar dicapai dalam pemilihan timbalan presiden PKR membuatkan mustahil beliau bertindak begitu.

“Malangnya, itu (keluar parti) tidak akan berlaku. Azmin akan tetap bersama PKR.

"Azmin ada dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti, sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga Wanita PKR.

“Beliau ada kedudukan yang sah dalam politik (political legitimacy) untuk terus bersama PKR, dan PKR juga adalah basis politik Azmin,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Hilman mengulas mengenai khabar angin yang tular di aplikasi WhatsApp mendakwa Azmin - yang kini bertembung dengan Anwar Ibrahim - akan meninggalkan PKR.

Perselisihan di antara dua kumpulan itu menjadi terbuka selepas muncul klip video hubungan asmara sejenis dengan dikaitkan kepada Azmin.

Azmin menafikan terlibat dalam skandal berkenaan dan mendakwa ia adalah langkah membunuh kerjaya politiknya.

Anggota parlimen Gombak itu juga tidak hadir di pemukiman PKR yang berlangsung selama tiga hari di Port Dickson baru-baru ini.

Kata Hilman, dakwaan yang tersebar di WhatsApp itu adalah fitnah yang datang daripada “orang yang sering kalah kepada Azmin”.

Bagaiamanapun, dia tidak menamanakan mana-mana individu dalam dakwaan tersebut.


Tiada ulasan: