Isnin, 29 Julai 2019

Kekalkan Tun M patut jadi konsensus baharu PH

ainulillia

 

Sokongan terhadap PM penting jamin kestabilan politik

BANGI– Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai konsensus baharu bagi mengekalkan Tun Dr Mohathir Mohamad sebagai perdana menteri, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali. 

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menyokong supaya Dr Mahathir dikekalkan sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.

Mohd Khairuddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS menyifatkan dukungan itu sebagai perkembangan yang amat positif.

“Memandangkan peralihan daripada Tun M kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun dikatakan sebagai konsensus PH sebelum ini, sehinggakan Majlis Pimpinan Pusat PKR membuat penegasan semula mengenainya pada Februari lalu.

“Konsensus itu menyebabkan pemimpin kerajaan dan PH tidak berani untuk memberikan sokongan kepada Tun M supaya terus berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Azmin dilaporkan senada dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Tun Dr Mahathir harus memimpin negara sehingga ke akhir penggal.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, kepimpinan Dr Mahathir diperlukan bagi memastikan usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Khairuddin berkata, sokongan semua parti terhadap Dr Mahathir dan pengekalan beliau sebagai perdana menteri sehingga berakhir penggal adalah amat penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara. 

“Jika gabungan pembangkang boleh memberikan sokongan kepada Tun M, PH lebih-lebih lagi patut berjiwa besar dan bersikap objektif mengenainya,” katanya.


Tiada ulasan: