WAWANCARA | Menjadi satu
kebanggaan dan kepuasan buat komposer terkemuka, Ahmad Nawab, apabila
dirinya dipilih untuk menyumbangkan karya sempena kempen mengalakkan
pelancongan datang ke negara ini pada 1992.
Tidak cukup dengan itu lagu berkenaan dirakam dalam 17 bahasa berbeza bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian terunggul.
Kata Ahmad, detik itu boleh dianggap antara pencapaian tertinggi beliau dalam kerjaya sebagai anak seni.
“Yang hanya bersisa didengari sekarang cuma bahagian ekornya: Malaysia Truly Asia.... saja," katanya.
Kenyataan itu dibuat kepada Malaysiakini ketika negara berada di ambang satu lagi kitaran kempen tahun melawat Malaysia.
Hati jadi tawar
“Semasa merakamkan lagu tersebut, orang luar berkata mereka tak pernah pergi Malaysia, tapi sebaik dengar saja lagu ni, mereka diibarat sudah sampai ke sini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Gombak baru-baru ini.
Untuk rekod, lagu Malaysia Truly Asia - yang dinyanyikan Khatijah Ibrahim - dirakam antaranya dalam bahasa Korea, Jepun, Rusia, Itali, Arab, Turki, Perancis, Jerman, China dan Sepanyol.
Menambah kecewa, Ahmad - atau nama penuhnya Ahmad Khan Nawab Khan - mendakwa lagu Malaysia Truly Asia disisihkan akibat dipolitikkan pihak tertentu.
“Sekarang saya kurang menggubah lagu. Faktor ini timbul mengikut keadaan perkembangan muzik tempatan. Antaranya disebabkan senario dunia seni tanah air bercampur politik.
“Yang saya nampak, sesuatu lagu akan masuk tong sampah apabila kerajaan bertukar pentadbiran. Sebenarnya ada lagu tak ada kena-mengena dengan politik sebab ia dihasilkan untuk rakyat.
“Sayang terbuang begitu saja, lainlah kalau lagu tu tak dapat sambutan,” katanya.
Bagaimanapun, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak berminat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang ‘merosakkan’ karya ciptaannya itu.
Mengenangkan seniman sehebat Allahyarham P Ramlee pun boleh dilupakan sesetengah orang, ada sebab untuk Ahmad merisaukan nasibnya pada masa kini dan akan datang.
“Sedangkan, P Ramlee pun orang tak ingat, tak peduli, macam mana saya nak cerita pasal diri saya?” katanya.
Wawancara 1: Bertahun Ahmad Nawab pendam kecewa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan