Khamis, 25 Julai 2019

Bekas menteri pendidikan tolak langkah kaji wujudkan SMJK Tamil

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid berkata, Dasar Pendidikan 
Negara memperuntukkan SRJK Cina dan Tamil di peringkat 
rendah, kemudian pergi ke SMK di peringkat menengah. (Gambar 
Bernama)
 
PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menolak keputusan Putrajaya menubuhkan sebuah jawatankuasa mengkaji keperluan menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil.

Mahdzir berkata berdasarkan pengalamannya, SMJK Tamil bukanlah satu keperluan kerana kebanyakan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil dikategorikan sebagai sekolah kurang murid.

“Ia hanya akan menggalakkan pelajar dari kaum tertentu, untuk pergi ke sekolah berasaskan kaum tertentu sahaja. Jadi bagaimana integrasi pelajar antara pelbagai kaum akan berlaku?

“Lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Bagaimana pula dengan usaha membentuk perpaduan masyarakat di Malaysia? Tidak sesuailah, pergi ke sekolah yang sedia ada sahajalah,” katanya kepada FMT.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching sebelum ini berkata, kementeriannya sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan SMJK Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.

Teo berkata, kementerian ketika ini sudah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut pelaksanaan perkara itu secara lebih terperinci dan holistik.

Teo berkata demikian ketika menjawab soalan Senator T Mohan yang meminta penjelasan mengenai status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia dan dibiayai kerajaan persekutuan seperti yang terkandung dalam janji ke-5, iltizam khusus Pakatan Harapan (PH) untuk masyarakat India.

Mahdzir berkata, penubuhan SRJK Cina dan Tamil sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia sudah memadai untuk pelajar bangsa Cina dan Tamil mempelajari bahasa Ibunda mereka.

“Dalam Dasar Pendidikan Negara menyebut SRJK Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah, kemudian pergi ke sekolah menengah kebangsaan,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Teo berkata sebanyak 3,015 sekolah kurang murid dicatatkan sehingga 31 Mei 2018, antaranya ialah 2,034 sekolah kebangsaan, 360 SRJK Tamil dan 601 SRJK Cina.

Tiada ulasan: