Khamis, 25 Julai 2019

Pensyarah kanan UiTM mengaku tak bersalah salah guna kuasa

Nizam Zain
MGF25072019_SPRM-PENSYARAH-MAHKAMAH-SA_01
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Mohd Nor Mamat (tengah) selepas didakwa SPRM atas pertuduhan penyalahgunaan jawatan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL


SHAH ALAM – Seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas pertuduhan menyalahguna jawatan dan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah tiga tahun lepas.

Prof. Dr. Mohd. Nor Mamat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM itu didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya apabila mendaftarkan syarikat Ryan Services di dalam Borang Daftar Khidmat Runding menggunakan Integrated Consultancy Systems (ICONS).

Ia bagi tujuan untuk penganjuran program International Syariah Compliant Idea, Invention, Innovation & Design 2016, sedangkan penganjuran dilakukan oleh syarikat III Education Services yang kamu mempunyai kepentingan sama.

Berdasarkan pertuduhan, kesalahan itu dilakukan pada 29 Jun 2016 di universiti awam itu.

Pendakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Ketika pertuduhan itu dibacakan, Timbalan Pendakwaraya, Mohammad Suffian Jaafar mencadangkan jaminan dikenakan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Fahmi Abdul Moin tidak menolak permohonan itu dan jumlah itu dipersetujui kedua-dua pihak.

Mohd Sabri membenarkan jumlah ikat jamin berkenaan dengan seorang penjamin serta pasport penjawat awam berkenaan ditahan di Mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah Sesyen juga menetapkan 26 Ogos ini sebagai sebutan semula kes. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: