Isnin, 22 Julai 2019

Undi 18 tahun: Siapa untung?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Anak Melayu rata-rata tidak sensitif dengan isu-isu kenegaraan

TANGGAL 16 Julai 2019, sejarah negara tercipta apabila barisan Ahli Parlimen kerajaan dan blok pembangkang memberi sokongan majoriti lebih dua pertiga undi di Dewan Rakyat bagi meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019.

Ia bertujuan meminda Perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Termasuk juga menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun, meminda Perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan.

Langkah ini amat baik kerana membabitkan anak muda dalam menentukan hala tuju negara. Persoalannya, sudahkah kita – anak orang Islam Melayu, khususnya bersedia? Pernahkah kajian dilakukan? Siapa untung, siapa rugi?

Saya berkesempatan bertanya kepada pelajar Melayu program diploma kelas pengajian Malaysia – anggaran 90 orang yang rata-rata berusia 18 tahun – akan kesediaan mereka mengundi dan menjadi wakil rakyat ketika umur sebegini. Majoriti jawab, tidak bersedia. Hanya beberapa orang sahaja bersetuju.

Rata-rata pelajar tidak mengambil tahu isu-isu kenegaraan dan isu-isu semasa politik yang berlaku. Jangan ditanya mengenai fungsi Parlimen atau perkara berkaitan pentadbiran kerajaan. Letih juga memahamkan mereka. Mereka tidak ada ilmu soal itu, meskipun belajar serba sedikit ketika di sekolah.

Pendek kata, rata-rata mereka tidak mengambil berat soal politik. Anak-anak Melayu lebih terdedah kepada perkara yang tidak berkaitan dengan kenegaraan. Tidak serius. ‘Happy go lucky’. Bukan generalisasi, tetapi sekadar pemerhatian.

Sebagai pensyarah yang mendalami bidang sejarah, politik, kenegaraan, pengajian Malaysia, pertahanan dan keselamatan, sudan tentu perkara ini amat menyedihkan. Jangkaan selama ini benar – anak Melayu tidak sensitif dengan isu-isu kenegaraan.

Pendek kata, kesedaran berpolitik amat kurang, berbanding dengan anak Cina.


Saya tidak pernah risau dengan anak Cina kerana mereka tahu siapa yang perlu diundi atau dalam kata lain, anak Cina tidak berbelah-bahagi dalam menentukan siapa pemimpin masa depan.

Kesedaran dalam kalangan ibu bapa mereka amat tinggi dalam menurunkan hidup bernegara. Sosialisasi politik begitu jelas. Cuma saya risau anak Melayu kita.

Sama seperti sistem persekolahan hari ini, apabila pendidikan hari ini tidak lagi berorientasikan peperiksaan, akademik dan kokurikulum menjadi seimbang, lihat apa berlaku kepada anak Melayu.

Seperti biasa, anak Melayu, sebelum ini tidak main, dapat main, dia main dan terus main. Apabila diberi peluang main, lagi dia main. Jika bermain, dia akan terus main-main. Pendek kata, mereka suka main, main dan main. Sehingga kehidupan jadi main-main.

Berbeza dengan anak Cina dan sekolah Cina. Mereka sangat serius dengan pendidikan. Saya tidak fikir sekolah Cina akan akur dengan arahan Kementerian Pendidikan untuk menyeimbangkan antara akademik dan kokurikulum. Penekanan mereka tetap akademik. Itulah budaya orang Cina.

Lihat bukti apa yang berlaku dalam PPSMI yang pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu. Sekolah Cina tetap kekal kecinaan tanpa memperdulikan PPSMI sepenuhnya.

Anak Cina tidak akan berkurang sedikit pun waktu akademik mereka, tuisyen akan diteruskan, kerja rumah melambak-lambak. Anak-anak akan disibuk dengan aktiviti akademik. Sebab itu, jarang kita lihat anak Cina melepak, hisap rokok tak tentu pasal, membawang dan sebagainya.

Jika tidak percaya, pergilah buat kajian di sekolah Cina. Orang Cina sangat jelas dalam soal pendidikan dan matlamat hidup. Mereka tahu syarat kemasukan ke menara gading tetap melihat kepada kecemerlangan akademik atau peperiksaan.

Kuat macam mana kokurikulum, koko atau sukan, jika keputusan SPM C, D, E, saya tidak fikir mereka layak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau mendapat tempat di institusi ternama.

Sebab itu, saya lihat apa jua keputusan mengenai masa depan pendidikan, ia hendaklah diperhalusi dengan teliti. Lihat kepada cara hidup, cara berfikir dan budaya hidup sesuatu bangsa. Jika tidak, pasti orang Melayu akan ketinggalan dan menjadi mangsa

Baru-baru ini saya berkesempatan berceramah bersama guru, ibu bapa dan anak-anak yang akan menghadapi UPSR di sebuah sekolah di Terengganu, yang rata-ratanya Melayu.

Keluhan guru-guru sekolah majoriti Melayu begitu ketara. Apabila akademik dan kokurikulum diseimbangkan, murid sekolah Melayu memang kerjanya setiap hari main. Lupa akademik bila dapat main. Tidak serius.

Berbanding pelajar Cina, lihat betapa agresifnya mereka dalam sesi sindikasi atau ‘townhall’ mengenai UEC baru-baru ini anjuran Pasukan Petugas DasarUEC Kementerian Pendidikan, pertemuan antara pelajar Melayu dengan Cina.

Amat jelas sekali, pelajar Cina begitu agresif dan begitu jelas mempertahankan UEC bermati-matian dengan hujah-hujah mereka, berbanding pelajar Melayu.

Pendek kata, pelajar Cina, amat jelas dengan apa yang mahu dicapai berbanding pelajar Melayu yang masih berbelah-bahagi, menyokong UEC dengan bersyarat, sedangkan mereka tahu apa yang berlaku di sebalik UEC.

Saya bukan memperlekeh pelajar Melayu, tetapi inilah realitinya. Semua perkara ini menjadi kebimbangan saya apabila umur mengundi kepada rakyat Malaysia diturunkan kepada 18 tahun.

Namun, oleh kerana perkara ini telah dibentangkan dan mendapat sokongan dua pertiga, sudah tentu akan dilaksanakan, maka tidak ada guna lagi untuk bercakap soal tidak kepada undi 18. Hadapilah realiti PRU15 akan datang, anak muda 18 ke atas akan bersama menentukan hala tuju negara.

Justeru, sekarang adalah masa untuk bertindak. Kesedaran politik, mengundi dan menentukan masa depan negara mesti diwujudkan.

Pertama, ibu bapa mesti menyedarkan anak-anak akan kewajipan mengundi. Kesedaran berpolitik mesti bermula daripada rumah. Anak-anak tidak boleh dibiarkan lagi leka dengan telefon pintar, ‘games’ dan lain-lain sehingga alpa dengan kehidupan bernegara.

Suasana di rumah perlu ada suasana politik. Pastikan dinding-dinding ada gambar berkaitan kesedaran berpolitik, termasuk gambar institusi Parlimen, raja-raja Melayu dan isu survival bangsa.

Kedua, di peringkat sekolah menengah, guru-guru hendaklah memainkan peranan bagi mewujudkan kesedaran berpolitik dalam kalangan pelajar. Pastikan silibus demokrasi berparliman dan raja berperlembagaan diberikan kefahaman yang jelas, agar mereka tahu bagaimana negara ini diperintah.

Ketiga, peranan parti politik, terutama Pemuda dan Puteri, mesti turun padang mendekati anak muda. Sedarkan mereka akan kewajipan mengundi, masa depan negara dan pembinaan negara bangsa.

Keempat, peranan media. Media cetak, elektronik dan media sosial hendaklah memperbanyakkan kempen mengenai kewajipan mengundi. Kurangkanlah program hiburan yang menjadi kegilaan anak muda sehinga mereka menjadi leka. 
 
Jika boleh, segala program hiburan, hendaklah diselitkan serba sedikit akan kewajipan rakyat terhadap negara. Pastikan pengacara mempunyai ilmu kenegaraan agar dapat membimbing anak muda.

Kelima, NGO hendaklah digerakkan supaya turut sama aktif berkempen memberi kesedaran kepada anak muda. Selain daripada menyertai NGO, mereka juga hendaklah diberikan kesedaran menyertai parti politik yang menjadi pilihan. Ingat, kita sudah layak menjadi wakil rakyat pada usia 18 tahun.

Kesimpulannya, undi 18, adalah soal kesedaran kenegaraan dan kehidupan bernegara. Suka atau tidak, kita mesti ambil tahu. Jangan lagi leka bermain sehingga semua perkara dianggap main-main. 

Jangan sampai bila sudah terhantuk baru mengadah, menyesal. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


Tiada ulasan: