Isnin, 29 Julai 2019

Jho Low guna istilah ‘pie’, ‘sate’ dalam urusan SRC, kata saksi





KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, merujuk dolar AS dan ringgit sebagai “pie” dan “sate” bila mengendalikan transaksi membabitkan akaun Najib Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada hari ke-45 perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan pelesapan wang RM42 juta dari dana SRC International Sdn Bhd.

Yu merujuk kepada log bualan di Blackberry antara beliau dan Jho Low, di mana Jho Low menggunakan istilah “pie” dan “sate” terutama berkaitan aliran masuk wang asing yang besar ke dalam akaun Najib.

Harvinderjit: Mengapa gunakan sebutan nama ‘pie’ dan ‘sate’? 
Yu: Itu apa yang Jho Low gunakan dalam bualan Blackberry messenger.

Harvinderjit: Pie, dolar AS, sate adalah ringgit?
Yu: “Ya”.

Harvinderjit menerangkan satu arahan oleh Jho Low bagi memindahkan dana RM50 juta setiap 1 ke dalam 3 akaun Najib dengan Jho Low merujuk kepada RM50 juta sebagai 50 sate.

Sebelum itu, Jho Low merujuk kepada dolar AS sebagai “pie” bila pengembalian AS$620 juta diuruskan.

Najib, 66, menghadapi 3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kedudukannya, dan 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

Tiada ulasan: