Kemenangan di hadapan 83,520 penyokong di stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu sekali gus meranapkan impian skuad ‘The Bos Gaurus’ untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir melakukan pada 2004.
Kejayaan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu juga menandakan Kedah berjaya menyamai rekod kejuaraan lima kali Selangor selepas turut meraih gelaran juara pada 1996, 2007, 2008 dan 2017 selain melayakkan mereka beraksi pada pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2020.
Aksi final edisi ke-30 itu menyaksikan pertembungan sengit dua gergasi dari Utara dengan kedua-dua pasukan menampilkan ego tinggi dalam memburu kemenangan sehingga perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan selepas aksi 90 minit masa sebenar berakhir dengan keputusan tanpa jaringan
Empat minit berselang Raianderson sekali lagi menguji benteng pertahanan Kedah menerusi tandukan hasil hantaran lintang rakan sepasukan tetapi ia berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Separuh masa pertama menyaksikan Perak lebih menguasai permainan sementara Kedah bijak dan tenang menyerap tekanan untuk menamatkan babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, nasib terus tidak menyebelahi pasukan bimbingan Mehmet Durakovic apabila sepakan percuma pemain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim sekadar menggegar palang pada minit ke-49.
Kedah akhirnya berjaya menemui rentak permainan sebelum pemain sayap Muhammad Farhan Roslan hampir meledak gol pembukaan pasukan, namun rembatannya ketika hanya berdepan situasi satu lawan satu tepat ke arah penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Perak terus mensia-siakan peluang dalam usaha memburu gol kemenangan apabila Brenda Gan dan Ronaldo Henrique Silva masing-masing gagal memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan pada minit ke-70 yang menyaksikan Mohd Ifwat bertindak cemerlang menampan percubaan tersebut.
Perlawanan semakin dramatik memasuki 10 minit terakhir dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan sekali gus memaksa penjaga gol kedua-dua pasukan bekerja keras mempertahankan gawang dari dibolosi.
Perak yang terpaksa mengharungi 30 minit masa tambahan dengan 10 pemain bagaimanapun tetap berjaya memberikan saingan sengit, namun tuah ternyata milik Kedah selepas hantaran lintang Mohd Rizal Mohd Ghazali disempurnakan Mohd Fadzrul untuk menjulang Kedah merangkul gelaran juara buat kali kelima.
Dalam pada itu, beberapa sejarah tercipta mewarnai final Piala FA 2019 apabila buat julung kali tiga pengadil dari Jepun ditugaskan mengadili perlawanan itu selain acara ‘Viking Clap’ terbesar yang mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Record’ setelah ia dijayakan lebih 80,000 penyokong di SNBJ.
Gitaris terkenal Man Kidal turut menghangatkan suasana perlawanan akhir dengan memainkan lagu Negaraku menerusi petikan gitar elektrik sebelum perlawanan bermula yang merupakan kelainan terbaharu pada edisi kali ini.
Perlawanan akhir Piala FA itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang turun ke padang bersalaman dengan barisan pemain kedua-dua pasukan sebelum bermulanya perlawanan.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Besar Kedah, Mukhriz Dr Mahathir dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan