Isnin, 29 Julai 2019

Pekerja kedai nasi kandar warga India dipercayai bunuh rakan sebelum gantung diri

Polis berkata, kedua-dua lelaki yang mempunyai permit kerja itu 
bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Kepala Batas dan 
tinggal di rumah kedai yang disewa sekumpulan pekerja asing 
yang bekerja di restoran berkenaan.

KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga India dipercayai telah membunuh rakan senegaranya dalam satu pergaduhan sebelum bertindak mengantung diri di kipas siling di rumah sewa mereka di premis rumah kedai di Taman Bertam Ria, di sini, semalam.

Mayat kedua-dua lelaki itu ditemui oleh rakan serumah mereka yang baru balik kerja pada kira-kira pukul 6.00 petang, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada majikannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor berkata, polis bergegas ke rumah kedai 2 tingkat itu selepas menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 6.45 petang, dan menemui mayat Mubarak Ali, 28, dan Azad Mubarakbhai, 26.

“Mayat Azad ditemui tergantung di kipas siling dan susulan pemeriksaan lanjut polis menemui kesan darah di bahagian bilik air, yang membawa kepada penemuan 1 lagi mayat seorang lelaki,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Katanya, pemeriksaan pada mayat yang ditemui di dalam bilik air itu mendapati terdapat kesan pergelutan serta tikaman dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh rakannya semasa bergaduh.

Noorzainy berkata, polis juga menemui sebilah pisau panjang kira-kira 30 sentimeter berlumuran darah berhampiran mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tergantung itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang mempunyai permit kerja itu bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Kepala Batas. Mereka tinggal di tingkat 1 rumah kedai yang disewa sekumpulan pekerja asing yang bekerja di restoran berkenaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati 2 lelaki itu pulang ke rumah selepas habis kerja pada pukul 12.30 tengah hari, dan kami tidak menolak kemungkinan mereka bergaduh ketika berada di rumah,” katanya motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Tiada ulasan: