Selasa, 9 Julai 2019

Kualiti udara dipantau 24 jam

tyrazalhe 

 

Bacaan VOC diambil secara berkala empat kali sehari: JAS

JOHOR BAHRU – Pemantauan kualiti udara terutamanya membabitkan parameter pencemaran seperti Volatile Organic Compound (VOC) di 111 sekolah di Pasir Gudang akan dibuat 24 jam sehari mulai hari ini sehingga Sabtu ini susulan masalah pencemaran udara di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, dalam satu kenyataan, hari ini berkata peminjaman alat pengesan gas di kesemua sekolah tersebut membolehkan para guru memantau keadaan semasa sekali gus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan..

Sebelum ini alat ini sudah dipinjamkan ke sekolah berkenaan sejak 4 Julai sehingga 6 Julai (Sabtu) berikutan kejadian sesak nafas dan muntah-muntah melibatkan pelajar-pelajar sekolah di kawasan itu, sejak 20 Jun lepas.

Beliau berkata, sebelum ini, bacaan VOC diambil secara berkala empat kali sehari dengan alat itu dihidupkan ketika mahu mendapatkan bacaan.

Namun, katanya, pada kali ini pihak sekolah diminta untuk terus membiarkan alat pengesan gas itu terpasang 24 jam.

“Bacaan tetap diambil empat kali dalam tempoh sehari, namun, dengan membiarkan alat itu berfungsi 24 jam, maka, kita akan dapat analisa lebih lengkap,” katanya sambil menambah alat tersebut perlu diletakkan di lokasi tingkat tiga ke atas.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 4, Rosni Kassim, ketika ditemui pemberita di sini, berkata pihaknya bersedia mematuhi segala arahan ditetapkan JAS menerusi pinjaman alat pengesan gas tersebut demi keselamatan 240 murid sekolah tersebut.

“Bacaan VOC sebelum ini diambil pada 7.30 pagi, 9.30 pagi, 12 tengah hari dan 3 petang.

“Bagi saya, arahan terbaru iaitu dengan alat pengesan gas dihidupkan 24 jam ini lebih memudahkan pemantauan. Kita tunggu apa hasilnya nanti,” katanya.- Bernama


Tiada ulasan: