KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang bakal menjenamakan semula durian kampung di negeri ini dalam usaha mempopularkan buah tersebut agar mendapat harga lebih lumayan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Mohd Soffi Abd Razak berkata penjenamaan semula durian kampung boleh memberi nilai komersial kepada produk itu.
Sebagai contoh “Musang King” yang kini meraih harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram dan dieksport sebelum ini dikenali sebagai “Raja Kunyit” dan meraih harga hanya antara RM10 hingga RM15 sekilogram.
Katanya, masih banyak spesies durian lazimnya ditemui di kebun sekitar kampung tradisi yang masih tidak didaftarkan, sedangkan kualiti dan rasanya setanding dengan Musang King yang menjadi identiti daerah Raub.
“Durian (kampung) ini hanya popular di kawasan asalnya seperti durian hijau di Beserah, durian jantung yang banyak di Lipis atau durian tembaga yang ditanam di kebanyakan tempat di negeri ini.
“Kebanyakan durian ini hanya dikenali sebagai durian kampung dan disebabkan perkataan kampung itu, harganya menjadi rendah kerana jika dijual RM15 sekilogram sudah dianggap mahal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Pahang 2019 di Taman Bandar hari ini.
Usaha menjenamakan semula durian kampung itu juga mendapat sokongan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang melihatnya sebagai platform untuk membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
“Mereka yang menanam durian di kampung biasanya melakukannya dalam skala kecil sedangkan ia sangat berpotensi. Mungkin mereka kekurangan modal untuk membangunkannya secara komersial.
“Diharapkan bila kita selesai melakukan inventori durian, kita dapat mengenalpasti jenis durian yang sesuai untuk dikomersialkan dengan bantuan teknologi tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya Mohd Soffi berkata Pahang mempunyai potensi untuk menjadi negeri pengeluaran hasil ternakan utama negara apabila sub-sektor penternakan menyumbang nilai pengeluaran hampir RM1.5 bilion pada tahun lalu.
Antara produk itu ialah daging ayam yang menjadi penyumbang utama dengan pengeluaran 84,000 tan metrik dengan nilai RM711 juta manakala lembu dan kerbau (4,070 tan metrik, (RM108 juta), susu (6.6 juta liter, (RM17.8 juta) dan telur (22,075 tan metrik, (RM128 juta).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan