PEMANDU treler maut, manakala dua anaknya cedera selepas terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 3, Jalan Gemencheh-Batang Melaka dekat Gemencheh di Tampin, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian 2.20 pagi itu, Kassim Mohammad, 50, berasal dari Taman Meranti, Bahau, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, dua kelindan yang juga anak mangsa berusia 17 dan 19 tahun cedera dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan.
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dari arah Tebong ke Gemencheh dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Selepas itu, kereta berkenaan bertembung dengan treler muatan simen yang dipandu mangsa yang datang dari arah Gemencheh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berikutan kejadian itu, Ramli berkata, pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak mangsa cedera.
Katanya, pemandu kereta lelaki berusia 24 tahun hanya cedera manakala penumpang lelaki berusia 17 tahun tidak cedera.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan