Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegur tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof yang didakwa menggunakan kursus haji sebagai medan propaganda politik.
Melalui Facebook Asyraf hari ini, beliau memuat naik sebuah video yang menunjukkan Mujahid sedang memberikan ucapan ketika kursus haji, yang menceritakan kejayaan Tabung Haji.
“Hentikanlah mempolitikkan kursus perdana haji. Biarkan bakal-bakal jemaah memfokuskan kepada hal-hal berkaitan penyempurnaan ibadah haji dan bukannya dipaksa mendengar ceramah politik kekanda mengapi-apikan perbalahan dan prejudis.
“Kadang-kadang terdetik, siapa sebenarnya pembangkang atau kerajaan ini?” tulisnya.
Sementara itu, dalam video 57 saat itu, Mujahid berkata aset dan tanggungan dapat diimbangkan semula melalui pemulihan.
“Hanya dengan pemulihan kita, fasa awal iaitu mengurangkan atau mengimbangkan balik aset dengan tanggungan, alhamdulillah, pada 2018, ketika kita bentangkan balik laporan kita mengikut suku tahun pertama, kedua, ketiga.
“Kejayaan besar TH yang orang tak pernah cerita, sebab kalau cerita itu adalah kejayaan kerajaan hari ini,” kata Mujahid.
Menurut Asyraf, TH sebelum ini, sejak awal penubuhannya tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian.
Bagaimanapun katanya, situasi yang berbeza yang dinyatakan oleh Mujahid yang melaporkan TH mengalami kerugian.
Asyraf mencabar supaya kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai hal ehwal kewangan dan pelaburan TH.
“Kursus perdana haji bukan medan propaganda politik untuk menghasut bakal-bakal jemaah supaya marah dengan kerajaan terdahulu dan pengurusan TH yang lalu.
“Jika benar akaun dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini merekalah yang mengaudit akaun dan laporan kewangan TH.
“Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana dibentangkan dan diluluskan setiap tahun di Parlimen. Sebab itulah yang terbaik tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan juga dalam manifesto mereka,” katanya.
Tahun lalu, sisasatan dijalankan ke atas TH dengan melibatkan audit terhadap agensi itu untuk tahun 2017, dijalankan oleh firma PriceWaterhouseCoopers.
Audit itu mendapati TH membuat bayaran hibah bukan daripada keuntungan yang diperolehinya, sebaliknya daripada deposit ahlinya.
Beberapa wakil rakyat PH turut mendakwa yang mereka mereka diberi taklimat bahawa TH mengalami kerugian tambahan sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017 namun ia tidak dinyatakan dalam laporan badan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan