KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen melahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan menyatakan tiada keperluan untuk mengadakan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen ketika ini.
Wong Chen mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang membuat pendedahan itu semalam dan berkata adalah memadai sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang diadakan pada setiap Selasa dan Khamis.
Jelas Wong Chen dalam laman sosial Facebook beliau, PMQ sebenarnya adalah satu platform penting serta sah untuk anggota Parlimen mengutarakan pertanyaan kepada Perdana Menteri.
“Jika ini adalah kesnya bahawa Perdana Menteri tidak PMQ, ini adalah satu kekecewaan sangat besar sebenarnya. Ini juga satu pusingan ‘U’ dalam manifesto kita.
“PMQ sebenarnya bertujuan sebagai satu alternatif bagi memastikan adanya ‘semak dan imbang’, Perdana Menteri lebih responsif dan bertanggungjawab kerana dasar demokrasi dalam pemerintahan kita, kuasa PM sangat luas serta luar biasa.
“Itulah keadaan kita sebelum berjaya menumbangkan kuasa untuk beberapa dekad sebelum ini, hak asasi dan ekonomi kita memerlukan reformasi yang sangat besar sebenarnya,” katanya dalam Facebook.
Tulisan Wong Chen juga mendapat pelbagai reaksi yang rata-ratanya menyokong pandangan beliau sambil menyoal apakah telah terjadi dengan janji manifesto sebelum ini.
Jelas Wong Chen sambil memberikan contoh kerajaan terdahulu yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, beliau disifatkan amat jarang ke Parlimen untuk menjawab soalan-soalan berkaitan pentadbirannya sebelum ini.
“Najib jarang datang ke Parlimen, apa lagi untuk menjawab soalan mengenai kerajaannya. Ini antara sebab mengapa kita menghadapi skandal seperti 1MDB, hakikatnya kita tidak boleh kembali ke era itu lagi,” tegasnya.
Semalam ketika bercakap kepada pemberita selepas Dialog Peringkat Tertinggi Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, Vui Keong berkata PMQT dibincangkan berikutan cadangan yang dibuat oleh beberapa anggota Parlimen berhubung perkara itu.
“Hakikatnya kita mempunyai MQT dan sejak tahun lalu, kita melihat perdana menteri datang untuk menjawab soalan-soalan di Parlimen ketika MQT dan sesi soal jawab biasa.
“Jadi saya rasa, buat masa ini kita tidak memerlukan PMQT, tetapi pada masa akan datang, jika ada keperluan, kita mungkin boleh pertimbangkan. Buat masa ini, saya rasa MQT sudah memadai,” katanya.
Untuk rekod, dalam Janji 16 manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang menjanjikan PMQ selama 30 minit setiap minggu ketika sidang Dewan Rakyat namun kini ianya hanya sekadar ‘janji’ sahaja. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan