Isnin, 24 Jun 2019

Vernakular: Tak perlu teruskan institusi bertaraf haram

ISMA WEB

Aziz Bari beri hujah tak rujuk mana-mana peruntukan Perlembagaan

BANGI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menempelak kenyataan Dr Abdul Aziz Bari apabila mendakwa desakan untuk menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Naib Pengerusi DAP Perak itu mengeluarkan hujah tanpa merujuk kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Abdul Aziz hanya bersandarkan kepada faktor sejarah bahawa sekolah vernakular ini telah wujud sejak 60 tahun lepas dan sepatutnya dikekalkan.

Mohd Khairul turut merujuk kepada Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa 152(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa— (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

“Perkara 152(1)(a) ini membawa maksud Melayu adalah bahasa kebangsaan Persekutuan dan apa-apa bahasa lain sekadar boleh digunakan untuk tujuan mengajar atau belajar asalkan ianya bukan atas tujuan ‘maksud rasmi’ kerajaan.

“Sekolah yang tersenarai dalam sistem pendidikan negara adalah ‘maksud rasmi’ kerajaan. Oleh itu, disebabkan oleh Perkara 152 (1)(a) melarang sebarang penggunaan Bahasa selain daripada Bahasa Melayu untuk ‘maksud rasmi’ termasuk sekolah biayaan kerajaan.

“Maka Putra menghujahkan bahawa Perkara 152(1)(a) inilah yang menjadikan kewujudan sekolah vernakular sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, wakil Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md Nor dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kuantan menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana dasar itu tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Desakan itu menerima pelbagai reaksi beberapa pihak termasuk DAP Perak yang turut membuat laporan polis menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung tuntutan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata, Putra percaya bahawa adalah tidak sah bagi kerajaan Persekutuan memperuntukkan apa-apa bantuan kewangan kepada sekolah vernakular ini.

“Oleh itu, hujahan Aziz Bari yang bersandarkan fakta sejarah semata-mata tidak boleh menafikan fakta Perlembagaan bahawa satu ‘institusi yang haram di sisi Perlembagaan’ telah ditubuhkan dan dibiaya oleh kerajaan sejak 60 tahun dahulu, dan sesuatu institusi yang bertaraf haram 60 tahun lalu tidak perlu diteruskan untuk 60 tahun akan datang.

“Putra juga menyokong desakan wakil Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md Noor yang menggesa kerajaan PH menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana ianya tidak menyumbang kepada perpaduan kaum,” katanya.


Tiada ulasan: