Ahad, 23 Jun 2019

Lemang PAS Cameron Highlands terjual RM4,000



   
MUKTAMAR PAS | Selain mengedarkan tabung derma jihad PAS juga ada cara tersendiri untuk mengumpul dana yang jauh lebih menarik.

Petang ini, bermodalkan sebatang lemang 'gergasi', PAS berjaya membuat kutipan sebanyak RM4,000 untuk disalurkan kepada cawangan parti itu yang bercadang membina markas mereka di Pos Lanai, Cameron Highlands.

Lelongan itu diadakan selepas tamat sesi perbahasan ucapan dasar presiden dan sebelum pembentangan usul-usul di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Timbalan Pengerusi Tetap Kamal Ashaari yang mengendalikan acara itu membuka bidaan pada harga RM200.

Pada satu ketika Muslimat PAS hampir berjaya menjadi pembida tertinggi apabila mereka menyatakan kesanggupan membayar lemang tersebut pada harga RM3,000.

Bagaimanapun lemang sepanjang 6 kaki 3 inci itu menjadi milik PAS Kuala Nerus yang menawarkan harga RM1,000 lebih mahal berbanding Muslimat PAS.

Untuk rekod kawasan Kuala Nerus adalah salah satu kerusi yang masih dikuasa PAS di Dewan Rakyat melalui wakilnya Dr Khairuddin Aman Razali, yang sebelum ini dilantik sebagai bendahari Ulama PAS Pusat.

Ketika wakil Kuala Nerus, Sukrimun Shamsudin, naik ke pentas dia mendapat kejutan apabila menerima satu lagi lemang gergasi sebagai hadiah percuma bersama lemang bidaannya.
Upacara penyerahan lemang itu disempurnakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Jalan tengok belakang,” seloroh Kamal apabila Yang Dipertua PAS Kuala Nerus itu berjalan turun dari pentas sambil memikul lemang panjang di bahunya kerana bimbang buluh itu akan terkena mana-mana kepala pemimpin PAS di situ.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud, berkata dana yang diperolehi daripada lelongan tersebut akan digunakan bagi menyiapkan markas, selain membiayai aktiviti mereka di Pos Lanai.
PAS Cawangan Pos Lanai baru saja ditubuhkan semalam dan dirasmikan oleh Abdul Hadi sendiri.

"Ia adalah lemang yang asli 100 peratus dan dibakar selama lebih 10 jam di sini dan baru saja siap pagi tadi," katanya.

Menurut Wan Mahadir lemang itu dimasak bersama 2.5kg beras pulut.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.


Tiada ulasan: