Jumaat, 28 Jun 2019

Tiada surcaj elektrik 6 bulan

Fazleen safina

 

Kadar tarif kekal 39.45sen/kWj, 2.55 sen/kWj bagi pengguna domestik

PUTRAJAYA – Tiada surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019.

Suruhanjaya Tenaga menerusi kenyataannya hari ini berkata, kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam (kWj) untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersil, industri dan lain-lain bagi tempoh enam bulan tersebut.

Kenyataan itu berkata, kadar tarif asas kekal pada 39.45 sen/kWj dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember itu.

Kadar itu ditetapkan setelah kerajaan menetapkan baki surcaj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak RM1,148.27 juta atau bersamaan 2.55 sen/kWj, dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh itu.

Selain itu, hasil semakan mekanisme ICPT pada setiap enam bulan, yang dibuat suruhanjaya itu bagi tempoh 1 Januari lepas hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain, hingga menyebabkan surcaj ICPT sebanyak RM1,592.13 juta bersamaan dengan 2.94 sen/kWj.

Faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos antaranya ialah kenaikan harga purata bahan api arang batu kepada USD99.235/tan metrik, berbanding harga diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) (Regulatory Period 2 (RP2): 2018 hingga 2020) iaitu USD75/tan metrik.

Peningkatan harga bahan api arang batu pula adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global, katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh yang sama, melalui tatacara dan metodologi mekanisme IBR RP2 terdapat penjimatan daripada pelarasan hasil Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjumlah RM336.70 juta.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan supaya penjimatan itu digunakan sepenuhnya untuk mengurangkan surcaj ICPT bersekali dengan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik berjumlah RM107.16 juta bagi meringankan beban rakyat,” kata kenyataan itu. – Bernama


Tiada ulasan: