Khamis, 27 Jun 2019

MP DAP bidas Muhyiddin kerana kritik keluarga Beng Hock

MALAYSIAKINI

   
Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh membidas Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin kerana mengatakan keluarga mendiang Teoh Beng Hock berlebih-lebihan dalam membuat tuntutan mereka.

Peguam yang mewakili keluarga Teoh berkata, keluarga mendiang hanya mahukan keadilan ke atas kematiannya.

"Keluarga Teoh tidak menutut apa yang bukan hak mereka.

"Mereka memohon keadilan dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan keadilan dengan sewajarnya dan dengan cekap menyiasat kematian Teoh," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata saman penyelesaian oleh keluarga Teoh dibuat tanpa menjejaskan siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa penyiasatan ke atas kematian Teoh telah selesai.

“Keluarga tidak puas hati walaupun sudah menerima bayaran pampasan, mereka tuntut lagi. Saya serah kepada peguam negara untuk buat keputusan sewajarnya,” kata Muhyiddin semalam.

Ramkarpal berkata selepas 10 tahun kematian Teoh, persoalan masih kekal sama ada terdapat pihak yang jenayah bertanggungjawab untuk kematiannya.

"Oleh itu, ia tidak boleh dikatakan bahawa semua siasatan kematiannya telah habis," katanya yang juga ketua biro undang-undang DAP.

Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin menunjukkan menteri itu terlepas pandang keputusan Mahkamah Rayuan bahawa terdapat elemen jenayah dan pembunuhan serta pihak yang bertanggungjawab dalam kematian Teoh.

"Hakikatnya tiada tuduhan jenayah dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kematian Teoh setakat ini, yang agak berasingan daripada prosiding sivil yang dimulakan oleh keluarganya.

"Walaupun aspek sivil kes itu telah diselesaikan, tetapi tidak boleh dikatakan sama dengan aspek jenayah," tegas anggota parlimen DAP itu.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, pad 16 Julai 2009.

Dia dipercaya jatuh selepas beberapa jam disoal siasat oleh pegawai SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu di tingkat 14 bangunan sama.

Pada 26 Jun, polis berkata, mereka sedang menyiasat kematian Teoh di bawah Seksyen 342 Kanun

Keseksaan, yang berkaitan penahanan salah seperti yang diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara

Tiada ulasan: