Sabtu, 22 Jun 2019

‘Usah singkir Dr Kamarudin UMS’

ISMA WEB

 

Dr Maszlee harus bersikap adil, bijak buat keputusan walaupun ditekan


BANGI– UMNO Sabah menggesa supaya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak membuat sebarang keputusan yang dapat merugikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kerajaan negeri.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan tindakan Dr Maszlee yang memendekkan tempoh perkhidmatan Prof Datuk Dr Kamarudin Mudin sebagai Naib Canselor UMS.

“Beliau adalah seorang anak jati negeri Sabah yang telah berkhidmat sebagai Naib Canselor dengan cemerlang melalui tadbir urus yang telus dan berwibawa.

“Tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan beliau tanpa alasan munasabah tidak boleh diterima, apatah lagi tempoh perkhidmatan beliau akan tamat setahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, tindakan yang tidak berasas dibuat oleh Menteri Pendidikan ini juga sudah tentu mengundang pelbagai persepsi negatif orang ramai, dan secara tidak langsung mencalarkan reputasi serta kerjaya Dr Kamarudin.

Terdahulu, Dr Kamarudin mengesahkan kebenaran desas-desus mengenai pemendekan tempoh perkhidmatannya seperti yang tersebar sebelum ini.

Beliau mengakui sudah menerima surat mengenai tempoh perkhidmatannya yang dipendekkan hingga 29 Julai ini.

Pada masa sama, UMNO Sabah mengucapkan tahniah kepada Dr Kamarudin kerana buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun UMS, beliau bersama tenaga akademik dan kakitangan telah memecah rekod, apabila universiti berkenaan diiktiraf oleh QS World University Rankings 2020 sebagai satu daripada 1,000 universiti teratas dunia.

Abdul Rahman berkata, UMS bukan sahaja tersenarai pada tangga ke-206 universiti terbaik Asia tahun ini, malah ia juga mencapai tahap 75 peratus kebolehpasaran graduan hasil daripada teraju Dr Kamarudin.

“Dengan pencapaian Dr Kamarudin, UMNO negeri mendesak Dr Maszlee supaya menarik balik keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan Naib Canselor UMS itu.

“Justeru, UMNO Sabah juga menuntut kerajaan negeri untuk campur tangan serta menolak usaha memendekkan perkhidmatan Dr Kamarudin dan mempertahankan perkhidmatan cemerlang beliau di UMS,” katanya.

Abdul Rahman juga menegaskan Menteri Pendidikan itu haruslah sikap adil serta tidak bertindak secara membuta tuli, ekoran mendapat tekanan daripada pihak tertentu.


Tiada ulasan: