Jumaat, 28 Jun 2019

KPM tidak beri kebenaran guna pelekat kotak susu PSS: Maszlee

fazleen safina 

 

Kualiti susu diragui, kes babitkan salah guna kuasa dana pelajar miskin

BANGI– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan sekeras-kerasnya memberi kebenaran kepada sebuah kilang di Sabah untuk menggunakan pelekat khas kotak susu bagi Program Susu Sekolah (PSS).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap susu kotak jenama Daily Dairy keluaran syarikat Sabah International Dairies Sdn. Bhd (SID).

Katanya, tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dilakukan oleh syarikat berkenaan tanpa merujuk KPM.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan arahan pemberhentian serta-merta edaran dan pembelian susu ini telah dikeluarkan oleh KPM pada 21 Jun 2019, yakni tarikh yang sama aduan diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee berkata, KPM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan integriti pelaksanaan inisiatif KPM.

Katanya, perbuatan itu juga menimbulkan kesangsian rakyat terhadap kualiti susu yang dibekalkan kepada para pelajar di sekolah.

Isu berkenaan tular di media sosial berikutan kecurigaan orang ramai tentang pembabitan kontrak susu negara dengan pembekal.

“Saya ingin menegaskan KPM untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita, terutama golongan sasar warga miskin yang tergolong dalam senarai penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) termasuk susu di sekolah.

“…sebarang bentuk salah laku integriti dalam isu ini akan disiasat kerana penyalahgunaan kuasa membabitkan dana untuk murid-murid miskin,” katanya.


Tiada ulasan: