Duit yang dicuri mesti dibayar balik kepada kerajaan, bukan UMNO
KUALA LUMPUR– Tun Dr Mahathir hari ini menyangkal dakwaan tindakan memfailkan
perlucutan hak sivil terhadap 41 individu dan entiti termasuk beberapa
anggota perhubungan UMNO negeri, adalah satu usaha kerajaan untuk
membankrapkan parti itu.
Perdana Menteri berkata, jika itulah motifnya, kerajaan boleh lakukannya lebih awal.
“(Sebaliknya)
kami benarkan Najib untuk agak bebas, walaupun dia sedang didakwa, dia
bergerak bebas sebagai ‘Bossku’,” katanya kepada media ketika ditemui
selepas menyampaikan ucaptama di perasmian Persidangan Minyak dan Gas
Asia 2019 di sini hari ini.
Turut
hadir di perasmian tersebut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jumaat
lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan suruhanjaya
tersebut telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41
individu dan entiti untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta
yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Termasuk
dalam senarai ialah anggota perhubungan UMNO Negeri Selangor, anggota
perhubungan UMNO Pahang, anggota perhubungan UMNO Kedah, anggota
perhubungan UMNO Johor dan anggota perhubungan UMNO Sabah.
Beberapa
pemimpin UMNO mendakwa bahawa langkah tersebut, merupakan rancangan
kerajaan Pakatan Harapan untuk menyingkirkan parti itu dan mereka tidak
menolak kemungkinan, menubuhkan UMNO lain jika ia dibubarkan.
Mengenai
perkata itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, beliau tidak
kisah jika parti itu mempunyai rancangan menubuhkan yang baharu, tetapi
apa juga kesalahan yang telah dilakukan, perlu dihukum mengikut
undang-undang.
“Apa
berlaku dahulu ialah UMNO ambil duit yang dicuri untuk diberi kepada
bahagian, duit yang dicuri mereka mesti dibayar balik, bukan kepada UMNO
tetapi kerajaan.
“Sebab itu
duit kerajaan yang dicuri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita
dapati duit dari Najib ini dia bagi kepada bahagian-bahagian dan UMNO
bahagian (pula) belanjakan duit curi, ‘stolen money’,” katanya.
Mengenai
Azmin yang dikaitkan dengan skandal video seks, Dr Mahatir mengulangi
bahawa, tidak ada keperluan untuk Timbalan Presiden PKR itu untuk
meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Tidak ada
keperluan (letak jawatan) hanya kerana ada orang di negara lain
melakukannya (letak jawatan bila dikaitkan dengan isu). Saya tahu di
satu negara, jika sebuah kapal terbang terhempas di lapangan terbang,
menteri pengangkutan letak jawatan atau keluarkan dirinya dari kereta
api, tetapi ini bukan cara kita,” katanya.
Beliau
juga menyatakan keyakinannya yang video tersebut merupakan satu
percubaan yang sengaja dilakukan bagi merosakkan masa hadapan Azmin.
“Saya
tidak rasa yang beliau begitu bodoh untuk melakukannya dan ditangkap,
saya rasa ada orang yang mahu menjatuhkan beliau … kini dengan keajaiban
elektronik, anda boleh tunjukkan banyak gambar yang boleh jadi betul,
atau tidak benar.
“Sebab itu
lah kita telah hentikan dengan berita palsu itu, tetapi bagaimanapun
kami rasakan seseorang perlu mengambil tindakan terhadap berita palsu,”
katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan