Rabu, 26 Jun 2019

Beza pendapat dalam PKR tak sihat untuk parti - Pemimpin cabang


   

Susulan isu video lucah yang membawa kemelut dalam PKR akhir-akhir ini membawa senario tidak sihat terhadap parti itu, kata Naib Ketua Cabang Ketereh, Mohd Sukirman Mustafa.

Katanya, PKR adalah sebuah parti yang berlandaskan reformasi sesebuah institusi seperti mana ia di asuh kepada setiap anggota sejak awal penubuhan dahulu.

"Setiap pimpinan atau anggota parti mempunyai hak untuk bersuara selagi ia tidak melanggar etika
"Akhir-akhir ini pula kita banyak melihat perbezaan pendapat di dalam parti dan ia adalah satu senario yang tidak sihat," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Bekas pengarah komunikasi PKR Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas isu percanggahan pendapat dalam kalangan pimpinan PKR berkaitan tindakan yang perlu diambil terhadap Ketua AMK Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana terpalit dengan dakwaan seks luar tabii.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan jika beliau menjadi presiden parti itu, sudah lama tindakan memacat Haziq akan diambil.

Bagaimanapun gesaan Zuraida itu dibalas Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin sebagai tidak menghormati keputusan parti.

Sementara itu Mohd Sukirman berkata gesaan beberapa pimpinan utama yang mahu Haziq dipecat daripada parti dibuat berdasarkan akhlak buruk yang diakuinya sendiri.

"Ini secara tidak langsung menjejaskan reputasi parti selaku parti terbesar di dalam kerajaan pada hari ini.

"Parti melalui satu kenyataan jelas menolak sebarang perlakuan fitnah dan tidak bermoral, jadi sudah wajarlah tindakan yang sepatutnya diambil.

"Akar umbi parti juga pastinya tidak mahu isu yang sudah terpalit ini menganggu tugas pimpinan dan fokus asal untuk kebajikan rakyat terabai.

"Sebagai sebuah parti yang mempunyai majoriti dalam gabungan seharusnya kita menjadi parti contoh yang terbaik," katanya.


Tiada ulasan: