Ahad, 30 Jun 2019

MT perlu bincang jika Zahid mahu kembali terajui UMNO

siti hafidah 

 

Beri tempat kepada golongan baharu ubah imej kepimpinan: KJ

BANGI– Sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin kembali aktif dalam politik, perkara itu sewajarnya perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dahulu, kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya kurang bersetuju sekiranya keputusan ingin kembali menerajui UMNO hanya diputuskan Ahmad Zahid sahaja berikutan sepanjang tempoh beliau bercuti, tugas itu telah digalas MT dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Walaupun bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyatakan bahawa perkara ini tidak perlu dibincangkan dalam MT kerana mengikut perlembagaan Ahmad Zahid sememangnya presiden yang sah, itu betul.

“Namun, dari segi moral dan politik, perkara ini perlu dibincangkan kerana sepanjang Ahmad Zahid bercuti, MT dan timbalan presiden yang jalankan tugas beliau. Jadi tak adil jika MT tak ada pandangan yang boleh dipertimbangkan dalam perkara ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Ahmad Zahid pada 18 Disember tahun lalu mengumumkan beliau bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semalam, Najib memaklumkan bahawa Ahmad Zahid boleh kembali menerajui semula parti walaupun tanpa persetujuan pihak lain termasuk MT.

Kata beliau, keputusan sama ada Ahmad Zahid mahu kembali ataupun tidak adalah terpulang sepenuhnya kepada presiden UMNO itu sendiri.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, parti perlu memberi tempat kepada golongan baharu berikutan ini adalah masa yang sesuai untuk melakukan satu perubahan terhadap imej kepimpinan UMNO.

Katanya, langkah ini adalah bagi membolehkan rakyat melihat UMNO melakukan perubahan terhadap saf kepimpinan utama parti itu.


Tiada ulasan: