Khamis, 27 Jun 2019

Guan Eng bohong lagi: Najib


tyrazalhe  

 

Laksana SST sehingga hasil negara turun antara sebab bajet terdesak


BANGI – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana menuduh kehilangan sejumlah wang akibat rasuah pemerintah terdahulu, sehingga menjejaskan keupayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk berbelanja.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai satu lagi pembohongan yang dibuat Guan Eng, bekas perdana menteri itu berkata, perbelanjaan kerajaan PH untuk tahun 2018 dan 2019 adalah jauh lebih tinggi berbanding di bawah Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ia termasuk bajet tambahan untuk tahun 2018 sebanyak RM19.6 bilion yang diluluskan kerajaan PH pada bulan April 2019, akibat lebihan perbelanjaan.

Najib dalam tulisan di Facebook berkata, tindakan PH menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga menyebabkan hasil negara turun adalah antara sebab kenapa Guan Eng mengatakan bajet kerajaan terdesak sekarang.

“Andaian tidak bijak untuk harga minyak dunia pada tahap AS$72 satu tong semasa merangka bajet tahun 2019 menyebabkan hasil kerajaan kekurangan kerana purata harga minyak tahun ini jauh di bawah andaian ini.

“Ekonomi yang lembab memberi kesan kepada hasil cukai yang dikutip untuk tahun ini. Kerajaan PH membiayai pelbagai projek kesayangan seperti projek Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) sebanyak RM46 bilion, projek kereta nasional ke-3, projek kereta terbang dan entah apa lagi,” katanya.

Dalam tempoh lebih setahun ini, Najib berkata, Guan Eng turut mendakwa bahawa syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hilang sebanyak RM30 bilion.

“Dua bulan kemudian, dia kata 1MDB hilang RM52 bilion pula. Kini dia memberi gambaran bahawa jumlah kehilangan 1MDB adalah sebanyak RM150 bilion.

“Kebenarannya ialah 1MDB tak hilang RM30 bilion. Kerajaan tak pernah bayar RM30 bilion kepada 1MDB. Wang itu dipinjam. Ini bermakna 1MDB masih ada hutang RM30 bilion yang perlu dibayar pada tahun 2039,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata, 1MDB ada perjanjian penyelesaian dengan IPIC, di mana negara boleh mendapat balik semua wang yang didakwa hilang setelah dihantar dan dijamin oleh firma milik kerajaan Abu Dhabi itu sebelum 31 Disember 2020.

Katanya, 1MDB juga ada projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dan Projek Tun Razak Exchange (TRX) yang kini dipuji oleh kerajaan PH sebagai menguntungkan.

“Semua ini tentu akan membolehkan 1MDB jelaskan segala hutang mereka sebelum tempoh pinjaman tamat pada tahun 2039 serta memberi keuntungan. Tapi Guan Eng tidak akan menjelaskan semua ini kepada rakyat.

“Kalau ditanya, dia akan buat bodoh dan membisu sahaja. Saya jangka selepas ini, Guan Eng akan cuba menyalahkan BN kerana hutang negara telah naik dengan kadar jauh lebih cepat di bawah mereka serta memberi keuntungan besar,” katanya.


Tiada ulasan: