Khamis, 27 Jun 2019

Mana Pesuruhjaya Sukan? Ini jawapan Syed Saddiq

MALAYSIAKINI

   

Tumpuan kini terarah kepada Pesuruhjaya Sukan apabila ramai pihak menyebut perlunya campur tangan pentadbir sukan negara itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjelang proses pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.

Kekosongan jawatan berkenaan yang ditinggalkan Datuk Zaiton Othman pada Mac lepas, yang masih belum diisi, menjadikan isu 'panas' ini belum menemui kesudahan yang baik.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman bagaimanapun hari ini tampil memberi jaminan bahawa calon bagi jawatan Pesuruhjaya Sukan itu akan diketahui tidak lama lagi.

Katanya, jawatankuasa pemilih yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr Waitchalla R.R.V Suppiah telah menjalankan proses pemilihan dan telah menyenarai pendek tiga calon, sebelum memutuskan satu calon yang sesuai menyandang jawatan itu.

"Dalam pelantikan Pesuruhjaya Sukan, saya telahpun muktamad dan menandatangani pelantikan tersebut. Pelantikan tersebut dibuat melalui proses yang agak meritokratik di mana kita buka permohonan (untuk mengisi jawatan itu), kita adakan temuduga dan ada jawatankuasa pemilih yang menyenaraikan pendek tiga calon.

"Nama calon (yang dipilih) saya tidak boleh maklumkan dahulu kerana masih perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selepas lantikan ini, kita boleh muktamadkan masalah yang tertangguh secepat mungkin," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Regent International School, Kool Sport and Asia Pacific Sports di Bukit Jalil.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata kementerian telah menerima aduan rasmi daripada pihak MPM dan siasatan mengenai dakwaan berkaitan kontroversi pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan empat calon lain sedang dijalankan.

Semalam, Presiden MPM SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam satu kenyataan media berkata pihak persatuan telah menerima aduan serta bantahan terhadap lima pencalonan yang dihantar pada 15 Jun lepas bagi merebut jawatan dalam AGM yang dijadualkan pada 29 Jun ini.

Menurut SM Nasarudin, pengadu yang membuat bantahan tersebut memohon satu penilaian semula dilakukan mengikut perlembagaan MPM.

Sehubungan itu, MPM telah merujuk isu bantahan itu kepada Pesuruhjaya Sukan untuk dinilai dan diputuskan.

"Sebaik Pesuruhjaya Sukan sudah memperoleh keputusan, saya sebagai presiden yang akan melepaskan jawatan akan menyerahkan kepada ahli majlis untuk mengendalikan proses pemilihan serta melantik pengerusi sementara dan pemantau bebas bagi melancarkan perjalanan mesyuarat pemilihan," kata Nasarudin dalam kenyataan itu.

Kontroversi mula timbul dalam pemilihan MPM apabila Khairy yang juga Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Kerusi Roda dilaporkan lewat menghantar borang pencalonan iaitu selepas tarikh tutup pada 15 Jun, bersama empat lagi calon lain.

Khairy akan berdepan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Megat D Shahriman Zahirudin bagi merebut jawatan presiden MPM, selepas SM Nasaarudin tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.- Bernama 


Tiada ulasan: