Ahad, 23 Jun 2019

Dana 1MDB: Mukhriz kata Azeez Rahim urus wang UMNO Kedah

ISMA WEB

UMNO wajar serah balik peruntukan jika daripada sumber salah


ALOR SETAR– Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan kepada UMNO Kedah ketika memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sebelum ini.

Katanya, segala urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap UMNO bahagian di negeri ini.

“Waktu saya jadi Pengerusi UMNO negeri, memang ada keperluan perbelanjaan untuk setiap bahagian tetapi saya serah kepada bendahari. Saya tidak tahu apa kaedah yang dia (bendahari) gunakan tetapi peruntukan yang diperoleh itu adalah untuk menggerakkan aktiviti di setiap bahagian.

“Selepas itu (peruntukan diperoleh), apa yang berlaku saya tidak tahu tetapi ia langsung tidak libatkan sebarang projek, kontrak atau benda-benda lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kesemua 41 individu dan entiti terbabit termasuk parti politik, yayasan dan syarikat, termasuk bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Mengulas lanjut, Mukhriz yang kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, jika dana diperoleh oleh UMNO daripada sumber yang salah, maka parti itu harus memulangkannya semula.

Mukhriz memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri pada Ogos 2013 dan melepaskan jawatan itu pada Februari 2016 selepas meletak jawatan sebagai menteri besar, susulan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. – Bernama


Tiada ulasan: