Ahad, 30 Jun 2019

Najib: Dulu kalahkan komunis, takkan hari ini takut lawan PH


   
Dalam meniupkan kata-kata semangat kepada ahli Umno untuk terus melawan PH, bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan ahli parti itu tentang sejarah penentangan terhadap penjajah dan komunis.

Berucap di mesyuarat agung tahunan Umno Gombak hari ini, Najib menyeru agar ahli partinya tidak membiarkannya "berseorangan dalam perjuangan".

"Kita mesti berani lawan, kalau tak berani lawan, kita bukan lah parti yang terbenam dalam sejarah bangsa kita dan Malaysia.

"Siapa suatu ketika dulu berani menentang British, berani menentang komunis, kalau tidak pendahulu-pendahulu, pendekar-pendekar kita," katanya.

Tambah Najib, ketika era berkenaan, Umno berjaya mengalahkan komunis kerana bersatu dengan sekutunya.

"Hari ini takkan kita tak sedia lagi, takkan kita tak berani lawan? Lawan jangan takut.
"Takut apa? Jangan biar saya seorang dalam perjuangan," katanya.

Umno Gombak merupakan Umno bahagian yang ketiga menjemput Najib merasmikan mesyuarat agung tahunan selepas Umno Jeli dan Umno Parit Sulong.

Sejumlah 191 Umno bahagian akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dari 15 Jun hingga 15 Ogos.

Tiada ulasan: