PPIM masih menerima aduan mangsa alami komplikasi perubatan
BANGI Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan pihak berkuasa
negeri dan Persekutuan susulan insiden pencemaran gas yang berlaku di
Pasir Gudang, Johor semalam.
Ketua
Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian yang berlaku kali ini
jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengambil serius kejadian yang
pernah berlaku sebelum ini.
“Sampai bila
penduduk harus hidup dalam keadaan begini, apa yang telah dilakukan
oleh pihak berwajib dan bagaimana ia boleh berulang.
“Semua pihak
berkuasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku kali ini, jika dahulu
mereka menyalahkan kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab, kali ini
di mana mereka?
“Mengapa
tiada pemantauan berkala dan adakah mereka hanya menjadi bahan ketawa
oleh pelaku-pelaku sehingga pencemaran berlaku di kawasan yang sama,”
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam
kejadian itu, 29 pelajar telah mendapatkan rawatan, yang mana 16
daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 orang
lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4).
Dilaporkan,
14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi
rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang mana 6 daripadanya
telah dimasukkan ke wad.
Mereka mula
mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom muntah-muntah serta sesak
nafas akibat terdedah kepada pencemaran. Ini adalah kejadian kedua
melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang.
Pada 7 Mac
lalu, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran
udara daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim. Pencemaran
tersebut turut mengakibatkan 111 buah sekolah ditutup sementara.
Mengulas
lanjut, Nadzim berkata, pihak berkuasa perlu mengadakan lebih pemantauan
berkala bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Sejak
kejadian pertama pada bulan Mac tahun ini, PPIM masih mendapat aduan
terdapat mangsa yang masih mengalami komplikasi perubatan. Kini kejadian
kembali berulang, kami amat bimbang dengan tahap keselamatan penduduk
di sana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan