Ahad, 30 Jun 2019

Kadir Jasin: AirAsia mampu selamatkan MAB dari berkubur


   

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd (AirAsia) dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) daripada 'berkubur.'

Menurut wartawan veteran, A Kadir Jasin, AirAsia juga telah memiliki satu elemen menyamai MAB iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd.

"Mereka ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

"Sudah pasti, struktur harga (tambang) mereka berbeza.

"Atas dasar itu, mereka memang berpengalaman namun sama ada boleh mengambilalih MAB dan dijadikan sebahagian AirAsia atau mengekalkan MAB sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, merupakan keputusan untuk ditentukan oleh mana-mana pihak yang berminat dengan MAB," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kadir berkata demikian sebagai mengulas jika AirAsia boleh mengendalikan kedua-dua syarikat penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama.

Ini susulan cadangan beliau menerusi catatan di Facebook pada Jumaat lepas bahawa "adalah lebih baik untuk MAB 'berkahwin' (disatukan) dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur."

Mengulas lanjut, beliau berkata : "Di Eropah, terdapat sebuah syarikat yang mengendalikan penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama. Malah ada banyak syarikat penerbangan besar lain di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang cuba memiliki penerbangan tambang rendah, tetapi secara amnya tidak berjaya."

Untuk rekod, pada Disember 2007, syarikat penerbangan berpangkalan di Jerman, Lufthansa membeli 19 peratus kepentingan dalam JetBlue Airways dan menandatangani perjanjian perkongsian kod dengan syarikat itu.

Ini merupakan pelaburan penting pertama oleh sebuah syarikat penerbangan Eropah ke atas syarikat penerbangan AS sejak termeterainya Perjanjian Langit Terbuka AS-AS berkuatkuasa pada 2008.

Bagaimanapun pada Mac, 2015, Lufthansa bertindak menjual kepentingannya dalam JetBlue.

Elemen monopoli
 
Dalam catatannya, Kadir turut membangkitkan bahawa AirAsia pernah 'berkahwin' atau bersama dengan Malaysia Airlines sebelum ini - merujuk kepada perjanjian pertukaran saham dua syarikat itu pada 8 Ogos, 2011.

Malangnya, perjanjian itu tidak bertahan lama apabila ditamatkan lapan bulan kemudian.

Kadir berpendapat, perjanjian MAB-AirAsia itu tidak berjaya kerana cadangan yang tidak jelas selain bedepan banyak bantahan daripada pihak awam.

"Namun itu berlaku beberapa tahun lepas dan keadaan telah berubah. Kita juga telah melihat kerajaan melakukan banyak cubaan untuk memulihkan Malaysia Airlines tetapi malangnya, ada persepsi ramai bahawa MAB tidak dapat dipulihkan dan sesuatu perlu dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, sama ada AirAsia mampu berjaya mengendalikan MAB sebagai sebuah syarikat tambang penuh dan jika ia benar-benar berminat untuk menggalas tanggung jawab itu adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat tambang rendah tersebut, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya tidak merancang untuk membeli MAB kerana berhasrat melakukan usaha transformasi sebagai sebuah syarikat yang diterajui oleh teknologi.

Mengulas sama ada 'perkahwinan' atau penyatuan AirAsia dan MAB akan mencetuskan kebimbangan mengenai monopoli dalam industri penerbangan tempatan, Kadir berkata akan wujud elemen monopoli atau duopoli antara AirAsia dan Malindo Airways dalam masa terdekat ini.

"Namun hari ini ianya bukanlah semudah itu untuk syarikat penerbangan bertindak menetapkan harga tambang kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan dan saya fikir kita kini mempunyai jaminan dalam bentuk perdagangan yang adil.

"Bagaimanapun, saya yakin dalam persaingan antara dua syarikat, harga itu tidaklah semurah persaingan antara tiga syarikat atau lebih," katanya.

Sementara itu, penganalisis yang juga Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, pula berpendapat Fernandes tidak mungkin mengambil alih MAB pada masa ini.

"Seperti yang dikatakan oleh Tony Fernandes secara terbuka sebelum ini bahawa tangannya sudah penuh pada masa ini dan saya tidak nampak sebarang alasan untuk AirAsia untuk mengambil alih MAB," kata Shukor sewaktu dihubungi Bernama.

Menerusi catatan blog beliau bertajuk 'Singapore Airlines to invest in Malaysia Airlines?' (Singapore Airlines Mahu Melabur Dalam Malaysia Airlines?) baru-baru ini, Shukor berkata MAB mencatat kerugian lebih RM2.4 bilion (US$580 juta) bagi tempoh antara 2015 dan 2017 walaupun telah menerima suntikan dana RM6 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd pada 2014.

"Awal minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedia mempertimbang untuk menjual MAB jika terdapat pembeli yang dapat memulihkan penerbangan nasional itu dan mengekalkan identiti Malaysia yang ada," katanya.

Topik mengenai kemungkinan penjualan MAB kembali hangat dan menjadi tajuk utama media selepas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Khazanah, menyatakan kesediaan Malaysia menjual syarikat penerbangan itu sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu.

Jika diimbas, Perdana Menteri membangkitkan perkara itu buat pertama kalinya pada Mac lepas apabila berkata kerajaan sedang mempertimbang sama ada mahu menutup, menjual atau membiayai semula MAB selepas syarikat itu kekal mencatat kerugian berikutan beberapa faktor termasuk kekurangan anak kapal pada separuh kedua 2018.

Idea untuk menutup syarikat penerbangan itu bagaimanapun telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB sendiri, Kapten Izham Ismail.

Syarikat penerbangan nasional itu telah mencatat kerugian sebelum tragedi kehilangan pesawat MH370 dan seterusnya pesawat MH17 yang ditembak jatuh.

Pada 2014, ia mengumumkan pelan pemulihan lima tahun dengan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2018.

Bagaimanapun syarikat itu gagal mencapai sasaran itu berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar seperti persaingan sengit, kenaikan harga bahan api, kadar pertukaran asing dan kekurangan anak kapal.- Bernama


Tiada ulasan: