Jumaat, 28 Jun 2019

Gas aneh dikesan di Pasir Gudang – Bee Yin


Nizam Zain


Yeo Bee Yin

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengesan kehadiran gas methyl mercaptan dalam insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Menterinya, Yeo Bee Yin menyifatkan kehadiran gas itu sebagai satu keganjilan menyebabkan persekitran udara di Pasir Gudang menjadi tepu dan berisiko tinggi kepada kanak-kanak dan penghidap asma.

Lebih mengejutkan, katanya, apabila gas acrylonitrile dan acrolein di Pasir Gudang itu adalah gas yang sama dikesan ketika kes pencemaran di Sungai Kim-Kim beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 daripadanya berasaskan bahan kimia.

Beliau juga berkata, pihaknya telah mengambil langkah segera termasuk melupuskan penyumbang kepada kehadiran semua gas berkenaan dan meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang berasaskan bahan kimia.

Katanya, insiden pencemaran udara di Pasir Gudang baru-baru ini juga akibat pembangunan kawasan itu yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang negatif terhadap alam sekitar.

“Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia lebih cekap dan pantas.

“Ini dapat membantu pihak berkuasa bertindak lebih proaktif. Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran secara automatik di negara ini.

“Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: