LANGKAWI
– Seorang wanita hampa buat kali kelima apabila ayam peliharaannya di
Kampung Bukit Tekoh, dekat sini, terus menjadi sasaran ular sawa.
Khairul Aida Ismail berkata, sejak tahun
lepas sudah empat kali ayam peliharaan dalam reban berhampiran rumahnya
itu dibaham ular sawa.
Katanya, kejadian terbaharu berlaku
kira-kira 8 pagi tadi, semasa beliau ke reban untuk memeriksa seekor ibu
ayam peliharaannya yang sedang mengeram telur.
“Sekitar 8 pagi tadi, saya ke reban
tersebut dan ternampak ular sawa batik dalam keadaan kekenyangan setelah
menelan ayam peliharaan. Saya kemudian minta anak saudara untuk hubungi
anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk datang menangkap ular
berkenaan.
“Hari ini adalah kali kedua anggota APM
datang bantu tangkap ular sawa, tiga lagi tangkapan dilakukan oleh
anggota bomba, ” katanya kepada pemberit, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Bencana, Operasi
dan Latihan APM Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata,
pihaknya menerima panggilan kira-kira 10.08 pagi sebelum tiga anggota
ke lokasi kejadian untuk menangkap ular itu.
“Anggota APM berjaya menangkap ular sawa
sepanjang tiga meter dan seberat 25 kilogram itu dalam tempoh 12 minit,”
katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan