Selasa, 25 Jun 2019

DAP, jangan usik kedudukan Islam -Perkasa

Manzaidi Mohd Amin
Dr. Amini Amir Abdullah
Dr. Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang didakwa mengkritik hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengislamkan semua masyarakat Orang Asli di negeri itu dalam jangka masa 30 tahun lagi.

Naib Presidennya, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pemimpin DAP itu tidak faham Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan mengurus urusan agamanya sendiri.

Katanya, peruntukan itu tidaklah bermaksud bahawa Orang Asli tidak boleh didakwahkan oleh orang Islam seperti yang difahami oleh Kasthuri.

Beliau menyarankan kepada semua ahli politik DAP mempelajari semula peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, kebebasan beragama, menganut dan mengamalkannya.

“Janganlah cuba bermain dengan api kerana buruk padahnya,” tegasnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Amini berkata, Perkasa pada dasarnya menyokong penuh sebarang usaha pihak berkuasa agama untuk menyebarkan dakwah kepada kira-kira 16,000 masyarakat Orang Asli di Kelantan dan 208,000 Orang Asli di seluruh negara.

Kasthuri dalam artikelnya yang disiarkan portal Malaysiakini Sabtu lalu menjelaskan, walaupun kedudukan Islam sebagai agama negara jelas disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, Artikel 11 membenarkan mana-mana orang untuk mempraktikkan dan menganut kepercayaan mereka dengan bebas.

Ini terpakai bagi mereka yang percaya kepada animisme dan roh, dan apa-apa percubaan untuk mempengaruhi atau melarang mereka daripada mengamalkan kepercayaan mereka secara bebas akan dianggap sebagai bertentangan dengan sebilangan besar peruntukan asas, iaitu kebebasan beragama dan kepercayaan.

Kasthuri juga menyatakan dalam artikel itu baru-baru ini di sebuah persidangan antarabangsa di Singapura, Raja Abdullah II Jordan, seorang pejuang kebebasan beragama dan kepercayaan telah meminta usaha bersama untuk menangani ancaman penting ‘tunggal paling penting’ di dunia – serangan terhadap keharmonian antara agama, saling menghormati dan saling mempercayai.

“Raja Abdullah II sebenarnya menyarankan kepentingan kesepaduan dan keharmonian sosial dalam dunia yang berbilang agama, bangsa, keturunan dan kerukunan antara agama, bukannya persoalan dakwah Islam,” tulis beliau.

Jelas Amini yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM) Perkasa, pertubuhan itu berasa sungguh kesal kerana Kasthuri gagal melihat keseluruhan konteks Perlembagaan Persekutuan dalam isu kebebasan beragama, menganut dan mengamalkannya.

“Beliau juga gagal memahami konteks sebenar penyebaran agama Islam (dakwah) dan limitasi penyebaran agama selain Islam.

“Perkara 11 (1) dan 11 (4) memanifestasikan bahawa Islam boleh disebarkan kepada sesiapa sahaja dalam konteks dakwah dan mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan.

“Penyebaran, pengembangan dan pendakyahan agama selain Islam tidak dibenarkan terhadap umat Islam. Oleh itu, usaha untuk mendekati Orang Asli dan memperkenalkan Islam kepada mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: