Sabtu, 18 Mei 2019

‘Sekolah agama kena cari dana, sekolah Cina dapat percuma’

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Wang pembayar cukai bukan untuk peruntukan kolej swasta Cina



BANGI – Sekolah agama kena cari dana, sekolah swasta Cina dapat duit percuma, demikian tegas Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Hazwan Mohamad yang menyifatkan kerajaan hari ini jelas didominasi parti tamak haloba, DAP.

Kenyataan beliau merujuk penganjuran Majlis Iftar Perdana anjuran besama Institusi-Institusi Pendidikan Islam Swasta Malaysia di Putrajaya pada 24 Mei ini.

Menerusi poster program itu, majlis yang dijangka dihadiri Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengenakan bayaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai bermula dari harga RM300 sehingga RM1,000.

Difahamkan, bayaran itu adalah untuk sumbangan bagi pembangunan Sekolah Rendah Ibn Kathir di Gombak, Selangor.

Tidak membantah program berbuka puasa itu, Hazwan berkata, perbandingan nyata apabila sekolah swasta Cina tidak pula berdepan kesukaran mencari dana sendiri, sebaliknya dengan mudah memperoleh daripada kerajaan, terutama Kementerian Kewangan.

“Sekolah agama perlu berhempas pulas mencari dana untuk tanggung anak-anak tahfiz, sedang sekolah dan kolej swasta Cina dapat peruntukan jutaan ringgit.

“Tengok gambar menteri menangis depan tangga sekolah uzur, kau akan terbayang Teo Nie Ching, DAP bersalam serah cek,” sindirnya merujuk Majlis Penyampaian Peruntukan 2019 kepada Kolej Universiti New Era dan Sekolah Menengah Persendirian Cina pada Januari lalu.

Penyerahan peruntukan kepada dua institusi swasta Cina berkenaan pernah menjadi pertikaian banyak pihak, apabila Kolej New Era tidak termasuk dalam senarai penerima dalam Belanjawan 2019.

Mengulas lanjut, Hazwan yang juga Presiden Professional Muslim Community berkata, sekolah swasta atau kolej swasta Cina tidak sepatutnya diberi dana kerajaan, kerana wang pembayar cukai bukan untuk institusi berkenaan.

“… apatah lagi sekolah berupa untuk satu kaum sahaja yang mana diketahui gagal mengikut standard kebangsaan.

“Sekolah agama bagaimanapun termaktub dalam Perlembagaan di mana kerajaan boleh menggunakan wang untuk disalurkan pada sekolah-sekolah agama Islam,” katanya.


Tiada ulasan: