Isnin, 13 Mei 2019

Royalti minyak, rakyat sekali lagi tertipu

Manzaidi Mohd Amin
Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Janji kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk membayar 20 peratus royalti minyak berasaskan keuntungan, bukan pengeluaran kepada negeri pengeluar petroleum, bertentangan dengan manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, keputusan yang dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu jelas mendukacitakan rakyat terutama Kelantan.

Kata beliau, dalam manifesto PH sebelum ini, mereka berjanji akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta beberapa negeri pengeluar petroleum yang lain kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

“Janji ini jelas terkandung dalam muka surat 21 manifesto PH ketika kempen PRU14 baru-baru ini.

“Mereka mengatakan “hasil petroleum”, bukan “keuntungan”. Dan, perkara ini juga dinyatakan dalam Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 9 Mei 1975,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin semalam yang dilaporkan berkata, pemberian 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia terikat dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Katanya, pindaan akta itu perlu dilakukan jika cadangan pemberian 20 peratus itu mahu dilaksanakan, dan akta berkenaan menyebut, pemberian royalti 10 peratus adalah berdasarkan keuntungan bersih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri pengeluar minyak.

Menurut Che Abdullah, berdasarkan justifikasi yang dinyatakan itu, beliau berpendirian jelas royalti adalah pembayaran wang tunai berdasarkan kepada pengeluaran.

“Ini juga konsisten dengan maksud asal royalti itu sendiri, berbeza dengan nama dividen dan sebagainya. Tetapi, pendirian kerajaan selepas memenangi pilihan raya adalah berbeza dari manifestonya. Sekali lagi rakyat tertipu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: