Khamis, 16 Mei 2019

Polis cedera ditembak perompak

Kandau Sidi
 
 

ANGGOTA polis cedera di tangan kiri, manakala seorang daripada tiga perompak ditembak di kedua-dua kakinya dalam rompakan di Taman Jelita dekat Taman Tunku, Miri, 1 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Ming Seah berkata, kecederaan yang dialami anggotanya di bahagian lengan kiri tidak serius dan polis memberkas dua daripada perompak terbabit.

Namun, katanya, seorang perompak bertopeng melepaskan diri daripada kepungan polis.

“Polis turut merampas sepucuk senjata api dan sebutir peluru hidup daripada suspek,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Miri, hari ini.

Beliau yang melawat anggota yang cedera berkata, polis menerima makluman daripada seorang lelaki melalui telefon, melaporkan terdapat kereta jenis BMW berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Jelita.

Katanya, seorang suspek bertopeng dan disyaki bersenjata api dan sejurus kenderaan polis tiba di rumah mewah, perompak terbabit melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

“Polis bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan terkena bahagian kedua-dua kaki seorang suspek,” katanya.

Suspek yang ditangkap berusia antara 35 dan 50 tahun.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek yang melepaskan diri.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan jenayah berjadual.

Tiada ulasan: