Jumaat, 17 Mei 2019

PKR RESAH JIKA RAKYAT TOLAK ANWAR


PKR dilihat mulai resah sekiranya rakyat mula menolak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berstatus sebagai bekas banduan, ujar Ketua Pemuda UMNO Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail.

Beliau berkata status Anwar yang dibangkitkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menimbulkan keadaan panik kepada PKR kerana sokongan rakyat terhadap Anwar sebagai bakal perdana menteri akan merosot.

Justeru itu beliau melihat ramai ahli PKR kini melenting sehingga ada yang membuat laporan polis dan mendesak Takiyuddin menarik kembali kenyataan itu.

“Pada hemat saya, perkara ini sebenarnya seperti terkena ludah mereka sendiri dan apa yang menjadi topik utama adalah kerisauan ahli PKR terhadap bakal perdana menteri itu sendiri.

“Jika bekas banduan itu disabitkan dengan kesalahan jenayah politik atau kesalahan ringan yang lain mungkin boleh diterima akal, namun bekas banduan ini kesalahannya memalukan iaitu meliwat,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Takiyuddin dalam satu ceramah di Taman Intan, Sandakan, Sabah dilaporkan mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Fakaaruddin berkata agenda tersembunyi PKR dan DAP akan gagal sekiranya Anwar gagal diangkat sebagai perdana menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Orang kuat Anwar ketika ini berada dalam keadaan risau dan ketakutan sekiranya Presiden mereka tidak berjaya diangkat sebagai Perdana Menteri, dalam bahasa mudahnya, kepentingan peribadi mereka dan DAP sekali lagi terbantut.

“Agenda tersembunyi PKR dan DAP mahu merealisasikan ‘Malaysia untuk bangsa Malaysia serta menghapuskan kuasa Melayu dan Islam akan gagal sekiranya Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan kepada seorang bekas banduan,” katanya.

Tiada ulasan: