Sabtu, 4 Mei 2019

Pegawai atasan ATM didakwa nukil 'puisi Syiah'

MALAYSIAKINI


   

Seorang pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia didakwa menukilkan surat yang disertakan bersama puisi yang mengupas isu fahaman Syiah dan negara Iran.

Malaysiakini difahamkan surat berkenaan yang dipercayai diedarkan untuk sebaran dalaman kepada anggota tentera itu merupakan renungan pegawai tersebut yang baru pulang dari Iran dalam rangka lawatan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ke negara teluk itu.

"Saya baru pulang dari negara Iran dalam rangka lawatan mengiringi Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) bermula dari 25 april hingga 2 Mei lalu.

"Ikhlasnya mengambil kira keadaan semasa tiada terlintas mahu pun berpeluang untuk menjejakkan kaki malah mengadakan lawatan ke negara ini.

"Negara Islam yang terkenal dengan amalan Syiahnya yang telah mengejutkan dunia dengan kebangkitan revolusi menentang Shah Iran (Shah Mohamad Reza Pahlavi) pada tahun 1979 lantas diboikot dunia yang dikepalai oleh Amerika Syarikat hingga sekarang," katanya dalam surat itu.

Pada sebaran surat itu, disertakan juga sebuah puisi berjudul, "Syiah."

Sajak itu antara lainnya membandingkan negara Iran dan negara yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah:

"Tak habis-habis berbalah,sesama kelompok ummah,
semua marah, terutama Ahli Sunnah Wal Jamaah
disebabkan kitab punya sejarah.

"Jika kita amati realitinya,
negara Iran yang dikatakan Syiah, tak dengar ada huru-hara sini-sana,
sebaliknya,
negara Islam yang amalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah
kucar-kacir sini dan sana."

Puisi itu juga menyeru supaya jangan menghina penganut Syiah, tetapi menegaskan untuk tidak mencampurkan ajaran ASWJ dengan fahaman tersebut.

"Yang mengamalkan Syiah,
cara mereka biarkan mereka,
jangan pula kamu menghina,
kerana jika kamu menghina mereka,
bermakna kamu menghina Aku jua.

"Kerana Syiah, Aku juga yang jadikannya,
jika kamu Aku hidupkan dalam ASWJ,
ikutan kamu semua ikutlah ia,
jangan pula kamu campur aduk dengan Syiah juga
kerana kelemahan manusia telah Aku jelaskan ia.

"Biarkan mereka hidup dalam Syiah sebagai amalan mereka,
kamu hidup dalam ASWJ tanpa berbalah sesama,
bersatu dan berkasih sayang."

Sebelum ini, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu sering dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Semalam, pensyarah ilmu hadis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaime Ramlee berkata tindakan menteri pertahanan menunaikan solat berjemaah di Iran memperlihatkan sikap tidak peka terhadap umat Islam negara ini yang mengamalkan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah.

Kenyataan Rozaime itu sebagai maklum balas terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin yang dikatakan tidak sepatutnya mempertahankan Mohamad Sabu.

Terdahulu, Hanipa mengkritik pihak yang memperbesarkan isu tersebut.

“Lekehnya kita kat sini. Katanya foto YB Menhan (Menteri Pertahanan) solat Jumaat di Universiti Tehran jadi isu besar.

“Alahai.. Saya pun pernah solat Jumaat di situ sebelum ni. Saya ni totok mazhab Sunni (Sunnah Wal Jamaah). Masa saya solat itu ramai lagi orang Sunni kat situ solat ikut mazhab depa," katanya kelmarin.

Ketika lawatan kerja rasmi selama enam hari ke Iran itu, beberapa gambar Mohamad Sabu sedang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Tehran tular di media sosial.

Gambar itu memaparkan presiden Amanah menunaikan solat berjemaah berimamkan ulama Syiah.


Tiada ulasan: