Oleh : Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Muslim berhari-hari kena soal tapi menteri bebas hina Islam
IBADAT
umrah hanya sunat. Dermakan wang itu untuk orang lain yang tidak pernah
menjejaki kaki menuju Kaabah atau dermakan kepada umat Islam Palestin
bagi meringan penderitaan mereka yang sedang dilanyak oleh Yahudi Zionis
laknatullah.
Yakinlah,
pahalanya lebih besar menanti anda meskipun tidak dapat menunaikan
umrah. Ingat! menunaikan umrah (berkali-kali) adalah sunat, sedangkan
ada di luar sana yang lebih memerlukan daripada kita menunaikan umrah
atau mungkin mengerjakan haji berkali-kali.
Ibadat
umrah bersifat individu, sedangkan membantu mereka (ramai) yang antara
hidup dan mati, adalah wajib. Justeru, dermakan wang umrah itu kepada
mereka yang benar-benar memerlukan.
Menunaikan
umrah berkali-kali belum tentu masuk syurga kerana Islam ada
awlawiyyatnya (keutamaannya). Menjaga akidah, memelihara agama dan
menyampaikannya, itulah antara asasnya.
Sekiranya
jaminan masuk syurga itu dengan menunaikan umrah, jawapannya sudah tentu
yang memenuhi syurga nanti adalah orang Arab, sebab mereka tinggal
berdekatan Kaabah, Makkah.
Mereka
berjiran dengan Kaabah. Setiap hari mereka boleh menunaikan umrah
berbanding kita yang mungkin setahun sekali. Tetapi mereka yang tinggal
berdekatan Kaabah pun tidak melakukannya setiap hari. Mungkin tidak juga
melakukannya setiap tahun.
Saya
tumpang sedih nasib yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid
Hamidi dan pendakwah, saudara Zambri Vinod. Zahid Hamidi dinafikan hak
untuk menunaikan umrah, pasportnya ditahan sementara menunggu
perbicaraan.
Manakala,
Zambri Vinod ditahan, disoal siasat selama empat hari kerana ceramahnya
yang sedikit menyentuh agama Hindu, dengan mengatakan agama Hindu
mempunyai berjuta-juta tuhan. Saya tidak pasti saudara Zambri Vinod
dapat daripada fakta itu.
Tetapi,
jika itu kebenarannya, pertahankan. Tidak perlu takut. Dalam carian
internet, jelas mengatakan ada 33 juta. Tetapi sepanjang pengajian saya,
asal usul agama Hindu hanya menyembah satu tuhan. Tetapi itulah fakta
yang ditemui dalam internet.
Apa yang
boleh saya katakan Zahid dan Zambri, inilah semua dugaan dunia, lalui
dengan tabah, pasti ada hikmah di sebalik, jangan bersedih. Bacalah buku
jangan bersedih, la tahzan karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, bagi
menghiburkan hati.
Sedihnya,
kadang kala sang penguasa tidak berlaku adil kepada orang Islam. Kenapa
tindakan tidak diambil terhadap mereka yang bertaraf menteri yang
menghina agama Islam.
Kenapa
apabila hanya ada seorang Islam yang dikatakan ‘menghina’ agama lain,
maka disiasat berhari-hari. Sedangkan menteri bukan Islam hanya disiasat
beberapa jam. Jika diteliti dari segi kandungannya, ternyata kenyataan
menteri-menteri ultra kiasu itu jauh lebih menyakitkan hati kita. Tetapi
mereka masih bebas. Saya fikir, ini tidak adil.
Sebab itu,
bila dikatakan, Islam tidak terancam, saya tidak percaya. Kita gagal
mempertahankan agama Islam yang suci ini. Raja-raja Melayu sebagai ketua
agama Islam, turut dihina sedemikian rupa, pun kita gagal
mempertahankan mereka.
Justeru,
di manakah fakta mengatakan Islam tidak terancam malah berkembang subur.
Apakah ini yang dikatakan rahmatan lil alamin. Orang bukan Islam
menghina kita boleh. Kita mungkin ‘menghina’ mereka sedikit tidak boleh.
Berkali-kali
saya menulis sebelum ini, apakah bukan Islam tidak pernah menghina
agama Islam secara terang. Apakah mereka tidak pernah menghina agama
kita ketika memberi ‘khutbah’ digereja. Pergilah siasat.
Masalahnya
dalam kita sesama Islam, ada Si Kitol dan Mendeliar. Mereka sengaja
viralkan ucapan atau ceramah seseorang yang tidak disukainya di dalam
masjid. Mereka mahukan jadikan individu yang tidak disukainya itu
sebagai sasaran. Si Kitol dan Mendeliar ini suka melihat saudara
seagamanya berada dalam kesusahan.
Lihat
bagiamana strategiknya orang bukan Islam, mereka juga tidak kurang
mengutuk orang Islam, tetapi sesama mereka tidak viralkan ceramah ketua
agama mereka. Pendek kata, mereka pandai makan, pandai simpan.
Sifat kita
tidak begitu. Kita suka menganiaya sesama saudara seagama. Kita suka
saudara seagama ditimpa musibah. Kita menganggap dengan tindakan
sedemikian, kitalah yang menjadi hero. Walhal, sebenarnya tidak. Kita
sebenarnya adalah pengkhianat kepada agama.
Saya
teramat sedih ketika menyertai satu persidangan baru-baru ini apabila
ada seorang profesor tersohor, Jomo KS mengatakan bahaya ethno-populism
di Malaysia. Beliau merujuk kepada orang atau gerakan yang menggunakan
bangsa dan agama sebagai alat untuk meraih simpati atau mendapatkan
pengaruh.
Walaupun
tidak merujuk kepada parti tertentu, sudah tentu kepada yang memahami,
ianya merujuk kepada gerakan dalam kalangan orang Melayu Islam hari ini
yang merasakan Islam terancam dan mereka keluar serta lantang
mempertahankannya.
Terus
terang, saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Kenapa apabila
kita mempertahankan hak bangsa dan agama, maka dikatakan ethno-populism,
bersifat rasis dan amat bahaya. Sedangkan ada bangsa yang lebih rasis,
langsung tidak menghormati Perlembagaan Negara dan agenda nasional,
tidak pula dikatakan ethno-populism.
Pendek
kata, apabila kita mempertahankan hak agama dan bangsa maka kita
dilabelkan rasis. Sebaliknya, apabila bangsa lain atau agama lain
mempertahankan hak mereka, jauh lebih ekstrem kadang kala, maka itu
dikatakan hak dan itulah keadilan.
Pada hemat
saya, Melayu Islam ada hak di bumi mereka sendiri dan wajib
dipertahankan. Kemanakah Melayu Islam ini hendaklah pergi apabila mereka
sudah tidak ada haknya lagi. Melayu Islam tidak ada tanah lain,
melainkan tanah ini, tanah digelar Tanah Melayu.
Berbanding
dengan bangsa lain. Jika mereka tidak mempunyai tanah di sini, pasti
mereka masih mempunyai nama tanah berasaskan nama bangsa mereka. Jika
tidak, mana mungkin wujud nama-nama seperti Tanah Besar China (India).
Melayu dan Bumiputera hanya ada Tanah Melayu, tidak mungkin mereka boleh
lari ke Tanah Besar China seperti Jow Lo.
Tetapi,
apa yang perlu dirisaukan oleh bukan Melayu? Tanah yang mereka punyai
jauh lebih banyak daripada Tanah Melayu itu sendiri. Inilah malangnya
nasib Melayu di bumi Melayu.
Tanah
rezab Melayu, semakin hari, semakin kecil. Semakin hari semakin ramai
yang meninggalkan pulau di Pulau Pinang. Sama seperti yang berlaku di
Singapura, suatu ketika dahulu. Melayu yang dahulunya majoriti menjadi
minoriti. Hari ini, ada apa dengan Melayu di Singapura? Tidak mustahil
Pulau Pinang akan menjadi Singapura.
Selagi ada
Si Kitol dan Mendeliar, tidak mustahil apa yang berlaku di Singapura,
akan berlaku di sini. Melayu sanggup jual tanah, untuk menjadi kaya buat
sementara. Tanah Melayu yang dibeli oleh bangsa lain dalam skala yang
besar, menjadi mereka kaya seumurkan hidup sehingga bergenerasi makan
tak habis.
Lihatlah
tanah Melayu yang telah tergadai seperti di Genting Highlands dan banyak
lagi tanah-tanah lain yang tergadai. Jangan sampai kita menjadi
Palestin.
Sebab
itulah, daripada awal saya katakan, tidak perlu bersedih kerana tidak
dapat menunaikan umrah atau sekadar disoal siasat selama empat hari.
Banyak tugas kita yang lebih besar dan lebih awla (utama) sedang
menanti. Pahala mempertahankannya jauh lebih besar daripada mengerjakan
umrah itu sendiri.
Ingatlah,
dalam Islam, individu dan amal ibadat yang dikerjakan, hanya untuk diri
dia sendiri. Sedangkan, individu yang menggunakan segala tenaga dan
hartanya untuk pembangunan syiar Islam dan umatnya, pahalanya jauh lebih
besar daripada ibadat seorang individu. Jika tidak, mana mungkin solat
sendiri dan solat berjamaah, jauh bezanya dari segi pahalanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan