Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan beliau tidak memberi restu kepada menantunya membuat pendedahan mengenai "kartel dedak" seperti yang berlaku sekarang.
Bercakap kepada media di Ampang, Selangor hari ini Abdul Hadi berkata beliau tidak pernah berbuat demikian dan kenyataan dibuat Zaharudin Muhammad di luar pengetahuannya.
“(Saya) restu itu, tak betul... saya tak ada restu,” tegasnya pasda sidang media sebelum majlis berbuka puasa anjuran PAS Pusat di De Palma Ampang hari ini.
Anggota Parlimen
Marang itu juga berkata, pendedahan "kartel dedak" yang dikisahkan
secara bersiri oleh menantunya itu boleh diibaratkan sebagai filem lama
yang sengaja ditayangkan semula.
"Kita anggap perkara itu dah selesai, ia melibatkan disiplin," ujar Abdul Hadi.
Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tiga naib presiden, Mohd Amar Nik Abdullah, Iskandar Abdul Samad, dan Idris Ahmad, serta setiausaha agung, Takiyuddin Hassan.
Langgar disiplin parti
Antara yang disebut secara jelas ialah dua anggota parlimen PAS iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Dr Khairuddin Aman Razali yang masing-masing mewakilli kawasan Bachok, Kelantan, dan Kuala Nerus, Terengganu.
Turut dilibatkan dalam dakwaan Zaharudin ialah Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.
Beliau turut mengaitkan isu penerimaan wang daripada Umno atau orang Umno itu dengan dua tokoh lain yang tidak dinamakan secara jelas.
Semalam Zaharudin - yang mengaku menjadi "komander" untuk menyingkirkan kumpulan "jebon" sebelum ini - memberitahu pendedahannya mengenai kumpulan terbabit direstui Abdul Hadi.
Nik Abduh pula sebelum ini mendakwa Abdul Hadi merestui beliau agar tidak bercakap benar semasa ditanya mengenai kesahihan audio satu ucapan dalam majlis dihadirinya bersama Zaharudin beberapa tahun lalu.
Zaharuddin menerusi kenyataan di Facebook juga menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan "kartel dedah" itu bertujuan mengelak serangan parti lawan serta menjarakkan pimpinan PAS daripada isu wang Umno.
Sementara itu mengulas isu sama, Takiyuddin berkata Jawatankuasa Disiplin PAS sudah menerima aduan mengenai tindakan yang dipercayai melanggar peraturan parti.
"Jawatankuasa Disiplin PAS akan buat keputusan. Aduan itu akan disiasat dan dibuat pendakwaan," katanya.
Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu menambah itu tersebut tidak wajar diungkit semula.
Katanya ada kemungkinan Zaharudin akan dikenakan tindakan disiplin jika jawatankuasa yang menyiasat aduan tersebut berpendapat ia adalah perlu.
Sementara itu Nik Abduh ketika ditemui sebelum bermulanya sidang media dan ditanya isu "kartel dedak" itu enggan mengulas lanjut.
Beliau sebaliknya mengarahkan pemberita bertanya kepada Abdul Hadi terus.
"Jangan tanya saya, pergi tanya di dalam (bilik sidang media) di sana ada semua jawapan," katanya ringkas.
LIHAT TWITTER DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan