Rabu, 15 Mei 2019

Gesa mansuh matrikulasi: Gerakan raih politik murahan, kata Umno

FMT Reporters
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

PETALING JAYA: Umno berkata gesaan presiden Gerakan agar program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam adalah yang tidak bertanggungjawab.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata gesaan itu adalah politik murahan untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Bumiputera selepas Dominic Hau Loe Chai kalah di semua kerusi ditandingi pada pilihan raya umum ke-14.

“Cubaan begini, yang dibuat pada ulang tahun Peristiwa 13 Mei sangat bahaya kerana ia boleh membangkitkan suara ekstrimis.

“Sekaligus mengingatkan rakyat kepada perarakan kemenangan Gerakan dan DAP dalam PRU3 yang memulakan Peristiwa 13 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan Dominic berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berani untuk menghapuskan program matrikulasi sebagai permulaan pentadbiran yang adil kepada semua kaum dalam matlamat membina sebuah Malaysia baru.

Katanya, langkah itu dilihat bertepatan dengan situasi semasa dan ia perlu dilakukan bagi menghentikan layanan tidak adil terhadap pelajar bukan Bumiputera di negara ini.

Mahdzir berkata daripada Dominic mendesak kerajaan membuat reformasi dalam bidang pendidikan, lebih baik mendesak PH menjadikan universiti awam percuma untuk semua seperti yang terkandung dalam Manifesto pakatan itu.

“Jika benar program matrikulasi merupakan amalan diskriminasi kepada pelajar bukan Bumiputera seperti yang didakwa oleh Dominic, mengapa tidak sekali pun beliau mempertikaikannya sewaktu mereka masih bersama BN?” soalnya

Tiada ulasan: