PRK SANDAKAN | Pengundi Sandakan
berpusu-pusu menghadiri ceramah terakhir anjuran Pakatan Harapan (PH)
dan Parti Bersatu Sabah (PBS) walaupun di tengah hujan gerimis malam
ini.
Di Bandar Letat Jaya, kira-kira 1,500 orang berkumpul untuk
mendengar ceramah PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie
Apdal.
Orang ramai terpaksa menggunakan payung atau berdiri di kaki lima jalan berhampiran untuk mengelakkan kebasahan.
Bagi
Shafie, hujan yang turun malam ini merupakan petanda yang baik bagi
calon PH, Vivian Wong yang akan bertemu lawannya dari PBS, Linda Tsen
esok.
Selain Linda, Wong juga akan menghadapi tiga calon bebas yang turut bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.
Di Taman Harmoni, yang jaraknya kira-kira lima minit
perjalanan, jumlah yang hampir sama dikumpulkan dalam ceramah anjuran
"gabungan pembangkang" di sebuah dewan.
'Bossku' dan 'Bapa BR1M'
Apabila bekas perdana menteri Najib Razak tiba kira-kira jam 9 malam, beliau segera dikerumuni orang ramai.
"Tidak kira hujan atau tidak, kita mesti sambut 'bossku'," kata seorang lelaki, merujuk kepada Najib.
Sebaik tiba, Najib menuju ke pentas dan mula berucap.
Orang
ramai yang hadir mengelilingi pentas sementara yang di belakang berdiri
di atas kerusi.
Terdapat kira-kira 800 kerusi disediakan.
Najib dalam ucapannya berkata beliau merupakan perdana menteri paling kerap mengunjungi Sabah.
Beliau
juga menceritakan pengalamannya berada di sebuah pasaraya hari ini
apabila salah seorang lelaki menggelarnya sebagai 'Bapa BR1M'.
Sementara
itu, Najib juga memperolok inisiatif dilakukan kerajaan seperti
mempromosikan minyak kelapa sawit secara agresif dan cadangan untuk
membina kereta terbang.
Di sebelah PH pula, gerombolan orang ramai
terus membesar sehingga kira-kira 2,500 orang, walaupun selepas Shafie
meninggalkan ceramah berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
kemudian berkata ceramah itu akan diakhiri secepat mungkin bagi
mengelakkan pengundi jatuh sakit akibat kebasahan dan supaya mereka
dapat keluar mengundi PH esok .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan