DENYUT REFORMASI
DALAM pengkajian politik daripada kaji selidik Merdeka Center yang telah
dilaksanakan pada 5 hingga 11 Mac 2019 yang disiarkan pada 26 April
lepas menunjukkan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan
Persekutuan pada 11 Mac 2019 merudum kepada 39 peratus.
Malahan
berdasarkan kaji selidik itu juga, tahap kepuasan hati rakyat terhadap
Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Mac 2019 didapati turut jatuh kepada 46
peratus. Dalam formula matematik kebarangkalian, PH dijangka kalah jika
berlakunya PRU dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun iaitu tempoh
jangka sederhana.
Berdasarkan penelitian isu-isu menjadi tajuk
perbualan atau yang sering terpapar dalam media massa menunjukkan
beberapa pembahagian yang bakal beri impak kepada PH atau mana-mana
parti.
Pertama, isu asas yang menjadi akar umbi kepada
persoalan-persoalan politik yang berlaku. Contohnya isu pelanggaran
kontrak sosial yang kini semakin panas. Bermula dengan isu bahasa, isu
agama, isu kedudukan hak istimewa Melayu dan terkini isu perlembagaan
mengenai kuasa dan sempadan had kedudukan raja-raja Melayu.
Sebenarnya,
majoriti masyarakat hari ini kurang mengambil tahu akan kontrak sosial.
Tetapi mahu tidak mahu, sensitiviti budaya emosi Melayu masih lagi
terikat dengan isu kontrak sosial.
Majoriti penganalisis politik
luar jarang membincangkan isu kontrak sosial apabila berbicara tentang
soal politik Malaysia. Mereka terlupa walau apa pun strategi yang
digunakan untuk memenangi hati rakyat Malaysia tidak akan sesekali dapat
memenangi hati rakyat Melayu jika isu kontrak sosial diketepikan.
Permasalahan tidak memahami budaya pemikiran politik Melayu menyebabkan
timbulnya isu agenda Melayu dan agenda Malaysia. Melayu tidak boleh
dipersalahkan andai kata mana-mana parti gagal memenangi hatinya. Ini
kerana adalah menjadi lumrah manusia tidak boleh lari daripada hak dan
agenda kaumnya.
Isu-isu taktikal menjadi panas apabila
aktor-aktor politik tidak mampu menunaikan tanggungjawabnya atau tidak
mampu melaksanakan apa yang dijanjikan. Contohnya isu menunaikan janji
manifesto dalam PRU. Jika diteliti adalah mudah membuat seribu satu
janji sewaktu sebelum PRU. Matlamatnya adalah memenangi persepsi para
pengundi.
Di sini wujudnya pertembungan matlamat politik dan
matlamat rakyat. Sering kali isu taktikal boleh menyebabkan rating
populariti kepimpinan parti pemerintah jatuh. Jika tidak ditangani
dengan baik akan memberikan satu imej yang kurang baik dalam jangka masa
panjang.
Malahan isu taktikal juga boleh berlaku pada peringkat
lokal dan bukannya nasional. Pada peringkat lokal, isu taktikal lebih
berkesan berbanding isu nasional. Ini disebabkan isu lokal boleh
mempengaruhi satu persepsi yang lebih kukuh.
Isu-isu berimpak
tinggi selalunya melibatkan golongan elitis politik, elitis ekonomi,
elitis sosial dan elitis pentadbiran negara.
Contohnya perpecahan
dalaman parti sebenarnya membawa seribu satu rahsia sesebuah parti yang
berkemungkinan menyebabkan kejatuhan parti tersebut. Ini pernah berlaku
pada UMNO semasa berlakunya krisis 1999. Krisis 1999 menyebabkan satu
gerakan reformasi terbentuk dan akhirnya berlakulah politik baharu.
Politik
baharu ini telah dijanakan tenaganya apabila Tun Dr Mahathir
meninggalkan UMNO pada tahun 2016. Sekali lagi UMNO sudah menemui jalan
penamat apabila tiada strategi yang dapat mensinergikan semula UMNO.
Situasi ini menyebabkan kekalahan UMNO pada PRU14.
Tetapi kini
isu paling berimpak tinggi bukan lagi daripada elitis politik.
Perpecahan elitis ekonomi dan elitis sosial mampu menggoncangkan
demokrasi negara ini jika situasi politik semakin lama semakin panas.
Walaupun
ekonomi negara dijangka menghadapi krisis akibat daripada fenomena
kejatuhan pasaran kapitalis global, Malaysia masih mampu mengharunginya
disebabkan fundamental ekonomi yang kuat.
Sebaliknya jika
perpecahan elitis ekonomi berlaku di negara ini, maka ekonomi negara
mungkin menghadapi zaman kemarau dengan berlakunya beberapa tindakan
politik yang kurang memberangsangkan perkembangan ekonomi. Cara
menangani permasalahan ekonomi tidak sama dengan cara menangani
permasalahan politik.
Begitu juga perpecahan elitis sosial kepada
etnik dan berpuak-puak akan mengganggu kestabilan keharmonian negara.
Walaupun rasuah berjaya disifarkan oleh kerajaan tetapi perpecahan
elitis sosial bakal mencetuskan satu persepsi yang kurang baik ke atas
kerajaan.
Persepsi ini akan mempengaruhi kedatangan para pelabur
luar ke negara ini. Mungkin ramai terlupa bahawa seperti kita mempunyai
satu tanggapan ke atas mana-mana negara, begitu juga rakyat mana-mana
negara turut mempunyai satu tanggapan ke atas negara kita.
Peranan
media sosial dan media massa yang sering memaparkan situasi ketegangan
hubungan etnik mampu menyebabkan perpecahan elitis sosial negara ini.
Jika ini berlaku dalam jangka pendek, maka sebaran persepsi negatif akan
dibawa keluar dari negara ini dengan mudahnya. Ini bakal menyebabkan
ekonomi terjejas tanpa sebarang sebab.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan