Khamis, 19 Julai 2018

SPRM nafi terima desakan tarik balik pembekuan akaun Najib

tyrazalhe

Beberapa akaun bekas PM dipercayai terbabit 1MDB, SRC International ditutup sebelum siasatan

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan bahawa tindakan menarik balik pembekuan akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, penarikan semula pembekuan akaun itu dibuat selepas siasatan ke atasnya selesai, dan mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan syarikat SRC International serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan segelintir pihak menerusi media berhubung dakwaan SPRM mengadakan publisiti besar-besaran terhadap pembekuan akaun Najib, dan secara senyap menarik balik tindakan itu.

“SPRM ingin menegaskan bahawa isu tersebut tidak timbul kerana suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun, malah SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditimbulkan oleh pihak media.

“Suruhanjaya ini juga ingin menjelaskan bahawa pelepasan pembekuan akaun tersebut adalah disebabkan ia tiada kaitan dengan siasatan SRC International dan juga 1MDB (RM2.6 bilion),” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, SPRM turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi akaun lain milik Najib yang juga terlibat dengan SRC International dan 1MDB tidak dibekukan.

 

Ini kerana katanya, semua akaun terbabit telah ditutup sebelum siasatan SRC International dan 1MDB bermula pada Julai 2015.

“Ini bermakna, pembekuan akaun bank Mohd Najib berkaitan isu SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan telah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa sehingga kini, siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita yang memetik sumber rapat Najib melaporkan bahawa akaun peribadi milik bekas perdana menteri itu tidak lagi dibekukan mulai kelmarin.

Difahamkan, akaun bank itu tidak mempunyai kaitan dengan politik, sebaliknya digunakan Najib untuk membayar bil serta perbelanjaan keluarga.


Tiada ulasan: